Oleh Ak Zaki Kasharan
BANDAR SERI BEGAWAN, 28 MAC – Dalam usaha untuk meningkatkan kualiti pengajaran dan pembelajaran guru-guru pendidikan khas agama, Jabatan Pengajian Islam (JPI), Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) melalui Unit Pendidikan Khas Ugama, Bahagian Sekolah Ugama menganjurkan Program Kongsi Sama Pengajaran Murid Berkeperluan Khas (Autisme).
Seramai 79 peserta terdiri daripada pegawai dan guru-guru pendidikan khas agama seluruh kawasan dan daerah di negara ini menghadiri program berkenaan yang diadakan selama empat hari bermula kelmarin sehingga 30 Mac depan di Dewan Sekolah Ugama Jerudong.
Hadir sama pada program tersebut ialah Presiden Persatuan SMARTER Brunei, Pengiran Zamri bin Pengiran Haji Bujang dan Guru Besar Sekolah Ugama Jerudong, Haji Muhd Said bin Haji Mustafa.
Program kongsi sama seumpamanya bertujuan untuk memberi pendedahan kepada semua guru pendidikan khas agama berkaitan dengan ciri-ciri dan simptom murid-murid yang bermasalah autisme, di samping memperkasa keupayaan guru-guru dalam menangani murid-murid bermasalah autisme.
Ia juga sebagai platform untuk percambahan fikiran antara sesama guru-guru berkenaan mengenai strategi dan teknik yang digunakan dalam pengajaran murid berkeperluan khas.
Selain itu, untuk mengenalkan dan mempraktikkan Individual Learning Approach, pendekatan integratif, pembelajaran berstruktur dan juga terapi-terapi khusus bagi mengawal tingkah laku murid-murid autisme.
Antara pengisian program ialah taklimat dan pembentangan tajuk-tajuk yang berhubung kait dengan pengajaran murid autisme, bengkel serta tunjuk cara dan terapi mengawal tingkah laku murid autisme, dan juga pameran alat bantu mengajar serta peralatan yang digunakan dalam terapi.
