Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 5 JAN – Program Pembangunan Eksekutif bagi Pegawai-pegawai Kanan Kerajaan (EDPSGO) dan Program Pembangunan Eksekutif Bagi Pegawai-pegawai Pengurusan Pertengahan (EDPMMO) merupakan program kepimpinan yang sentiasa dikemas kini mengikut trend dan peredaran global yang terkini.
Ia bertujuan untuk memastikan kualiti pemimpin akan sentiasa diasuh dan dipupuk bersesuaian dengan keadaan semasa. “Program kepimpinan ini juga dihasratkan untuk menyerlahkan lagi keupayaan dan kebolehan para peserta sebagai barisan pemimpin dalam perkhidmatan awam yang sentiasa bersedia memegang amanah dan memikul tanggungjawab yang lebih besar serta membawa perubahan yang positif dan inovasi yang proaktif selaras dengan matlamat Wawasan Brunei 2035 dan juga visi Jabatan Perdana Menteri (JPM) iaitu kepimpinan dan urus tadbir yang cemerlang.”
Perkara itu dinyatakan oleh Pemangku Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Dr Norfarizal bin Othman dalam kata alu-aluannya pada Majlis Perasmian EDPSGO ke-29, EDPMMO ke-31 dan EDPMMO ke-32 yang berlangsung di Dewan Bankuet, JPM, hari ini.
Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis berkenaan ialah Menteri di JPM, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Awang Abdul Mokti bin Haji Mohd Daud. Turut hadir ialah Pesuruhjaya Tinggi Republik Singapura ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Heng Aik Yeow, setiausaha-setiausaha tetap di JPM, naib canselor Universiti Teknologi Brunei (UTB), pemangku rektor Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA), timbalan-timbalan setiausaha tetap di JPM dan ketua-ketua jabatan di bawah Bahagian Perkhidmatan Awam, Kesejahteraan, Antarabangsa dan Media (PKAM), JPM.
Dalam kata alu-aluannya lagi, Dr Norfarizal berkata bahawa walaupun negara sedang berada dalam Fasa Awal Endemik, program-program berkenaan masih dikendalikan dengan mengadaptasikan kepada norma-norma baharu dan mengikut prosedur operasi standard yang berkuat kuasa dari semasa ke semasa. Beliau percaya bahawa hikmah ini adalah cabaran untuk lebih gigih dalam mengusahakan kaedah-kaedah baharu dengan kerjasama yang baik bersama pihak-pihak berkepentingan bagi mempertingkatkan pengendalian dan pengurusan dalam perkhidmatan awam.
Seramai 28 orang peserta mengikuti EDPSGO ke-29, 28 orang peserta bagi EDPMMO ke-31 dan 28 orang peserta bagi EDPMMO ke-32 di mana program yang dianjurkan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam itu merupakan salah satu komponen di bawah projek Kumpulan Pemimpin Perkhidmatan Awam (CSLP).
CSLP merupakan salah satu inisiatif di bawah Rangka Kerja Perkhidmatan Awam yang diwujudkan bagi mendukung hasrat Wawasan Brunei 2035 melalui Strategi Pembangunan Institusi.
CSLP bermatlamat untuk menyediakan kumpulan pemimpin yang dipilih daripada kalangan pegawai-pegawai bahagian 2 ke atas dalam perkhidmatan awam. Usaha itu melibatkan pengenalpastian pegawai-pegawai yang sememangnya mempunyai potensi untuk menjadi pemimpin dan seterusnya pembangunan keupayaan dan kapasiti mereka antaranya melalui program pembangunan eksekutif itu sebagai persediaan untuk mereka memegang jawatan kepimpinan yang lebih kanan.
EDPSGO ke-29 dan EDPMMO ke-31 akan dikendalikan oleh UTB, manakala itu, EDPMMO ke-32 akan dikendalikan oleh UNISSA. Kandungan program-program berkenaan, antara lainnya merangkumi pengajian isu dan dasar semasa serta amalan terbaik dalam pengurusan dan pentadbiran perkhidmatan awam yang dipraktikkan secara global daripada perspektif Islam dan konvensional.
Selain itu, para peserta juga diberikan pendedahan secara praktikal melalui penempatan kerja, projek kemasyarakatan, lawatan sambil belajar serta sesi dialog bersama tokoh-tokoh pemimpin Negara Brunei Darussalam.