Thursday, May 1, 2025
24.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Program Trajektori bagi pelatih PPB

    Oleh Syahmi Hassan & Imelda Groves HA

     

    MMN Logo 2017BANDAR SERI BEGAWAN, 15 Mac – Para graduan bakal mendapat latihan kemahiran dan pengalaman bekerja melalui Program i-Ready (i-RDY) yang bermula tidak lama lagi manakala Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) juga dijangka akan melaksanakan satu program baru iaitu Program Trajektori yang berperanan memberikan pendedahan awal hala tuju para pelatih Pusat Pembangunan Belia (PPB).

    Program ini akan memastikan lepasan PPB lebih ‘marketable’ (kebolehpasaran) dalam apa-apa jua bidang dan kemahiran yang mereka pelajari terutamanya dalam tiga perkara iaitu pekerjaan, keusahawanan dan juga pelajaran, menurut Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof ketika menjawab persoalan oleh Yang Berhormat Pengiran Haji Ali bin Pengiran Maon sama ada belia lepasan PPB bertaraf graduan boleh dilibatkan dalam slot perantisan kemasyarakatan seperti bantuan kebajikan am atau bantuan bencana alam yang dikelolakan oleh kementerian itu.

    Yang Berhormat Pengiran Haji Ali turut mengusulkan agar mana-mana perantis yang belum terlibat dalam Program Khidmat Bakti Negara (PKBN) diwajibkan menjalankan slot perantisan kemasyarakatan tersebut agar dapat dididik nilai jati diri, rasa tanggungjawab terhadap kesejahteraan bangsa dan negara serta peka dengan perkembangan semasa.

    Yang Berhormat Pengiran Haji Ali.
    Yang Berhormat Pengiran Haji Ali.

    Manakala bagi cadangan penambahan kursus disediakan PPB seperti perubatan tradisional atau perubatan alternatif Islam yang sebahagiannya hampir pupus dan dimonopoli warga asing, Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan menekankan bahawa penelitian terhadap kurikulum PPB yang sedia ada sentiasa diusahakan bagi memperbaharui pelaksanaan kursus dan menambah kurikulum berkepentingan yang dapat memastikan lepasan pelatih PPB mendapat pekerjaan.

    “Walau bagaimanapun, semua cadangan bagi pembaharuan kurikulum ini mungkin memerlukan satu penelitian dan perlu diluluskan oleh Ahli Lembaga Penasihat PPB sebelum ia dilaksanakan, manakala kesesuaiannya juga harus diteliti tanpa menjejaskan kurikulum yang ada,” jelas Yang Berhormat Pehin.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda