Program tumpu kurikulum ekonomi, peluang nilai

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 12 OGOS – LiveWIRE Brunei, baru-baru ini, telah mengendalikan LiveWIRE Business Awards Bootcamp 2020 sebagai respons kepada pendekatan yang disemak semula bagi Anugerah Perniagaan yang diperkenalkan pada 2020 dengan memberikan tumpuan kepada kurikulum ekonomi dan peluang nilai dalam negara khususnya agroteknologi dan inovasi.

Di samping itu, anugerah perniagaan itu juga menumpukan kepada lima bidang utama dalam pertandingan berkenaan iaitu agroteknologi, peralihan tenaga, pengurusan sisa, pendigitalan dan pembuatan pintar.

Dalam hubungan itu, bootcamp yang diadakan pada 27 hingga 29 Julai dan 4 hingga 6 Ogos berkenaan direka supaya selaras dengan menyediakan perisian tempatan yang selari dengan usaha strategik negara ke arah pendigitalan dan Revolusi Perindustrian 4.0.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh LiveWIRE Brunei, di sini, hari ini, penceramah semasa bengkel berkenaan terdiri daripada kaunselor-kaunselor LiveWIRE Brunei iaitu Awang Mohd Fadhilullah Tudun bin Hassan, Awang Afiq Mohammed dan Dayang Dina Damit.

Antara modul yang diliputi dalam bengkel berkenaan termasuk Penilaian Pasaran: Ke atas trend tenaga dan industri pada masa ini dan bagaimana untuk menilai faktor-faktor pasaran menggunakan lensa mikro dan makro; Pemikiran Rekaan: Metodologi penyelesaian masalah praktikal dan kreatif berpusatkan manusia; Teori Perubahan: Membantu sesebuah organisasi untuk memahami dengan lebih baik apa yang ingin dicapai dengan mempunyai visi dan misi yang jelas dan memetakan aktiviti dan dapatan yang boleh menuju ke arahnya.

Antara peserta yang mengambil bahagian dalam salah satu bengkel yang dianjurkan oleh LiveWIRE Brunei. – Gambar serahan LiveWIRE Brunei

Selain itu, Kanvas Model Perniagaan: Pandangan menyeluruh perniagaan daripada cadangan nilai, pelanggan, infrastruktur penghantaran dan model kewangan; Membangun dan Mengurus Pasukan: Memahami bagaimana untuk memimpin dan mengurus sebuah kumpulan menerusi maklum balas dan gaya kepimpinan efektif; dan Menyampaikan Arahan: Bagaimana untuk menyampaikan pembentangan yang efektif menerusi isi kandungan, bahasa badan dan penyampaian serta juga memahami apa yang perlu didengar oleh penonton.

Di samping itu, bengkel itu turut membincangkan mengenai COVID-19 dan matlamat pembangunan mampan (SDG).

Mengulas mengenai idea perniagaan daripada para peserta semasa bengkel berkenaan, Kaunselor Perniagaan Kanan, Awang Mohd Fadhilullah berkata, peserta bengkel dibahagikan mengikut kategori masing-masing yang menyaksikan kumpulan besar dalam e-dagang dan kumpulan kecil dalam pertanian, pendidikan, perkhidmatan IT, platform e-penghantaran, tenaga boleh diperbaharui, kitar semula, pengurusan sisa dan pembiayaan orang ramai (crowdfunding).

Salah seorang peserta iaitu pedagang bebas yang bekerja sendiri, Awang Amirul berkata, bengkel itu merupakan platform yang baik untuk mempelajari mengenai apa yang diperlukan dan bagaimana untuk berkomunikasi serta menyampaikan idea dengan efektif.

Bengkel itu disertai oleh peserta-peserta dari Institut Pendidikan Teknikal Brunei, usahawan-usahawan, orang ramai dan alumni LiveWIRE.

Tarikh tutup bagi menghantar penyertaan bagi LiveWIRE Brunei Business Awards 2020 ialah pada 11 September. Selain daripada bootcamp yang diadakan, proses anugerah berkenaan juga termasuk bimbingan perniagaan, sesi pembentangan, penyampaian anugerah dan sokongan rangkaian serta alumni.

LiveWIRE Brunei Business Awards ialah sebuah program yang direka untuk memberikan penghargaan kepada mereka yang menunjukkan kecemerlangan dalam perancangan perniagaan dan operasi perniagaan mereka yang sedia ada.

Program itu merupakan satu inisiatif oleh LiveWIRE Brunei dan dibiayai sepenuhnya oleh Syarikat Minyak Brunei Shell Sdn Bhd (BSP), yang bermatlamat untuk memupuk dan membimbing usahawan masa kini dan masa hadapan.

Ia juga merupakan salah satu daripada pelbagai komitmen BSP ke arah memupuk dan membangunkan kompetensi perniagaan tempatan, keupayaan dan daya saingan khususnya bagi kelestarian jangka panjang ekonomi sektor swasta Brunei.