Program TV pendidikan sumber rujukan penuntut

Oleh Salawati Haji Yahya

BANDAR SERI BEGAWAN, 27 SEPT – Kementerian Pendidikan berusaha untuk menyelaraskan program TV pendidikan yang mana inisiatif kementerian adalah untuk menyediakan set lengkap bagi setiap mata pelajaran untuk semua peringkat pelajar.

Dari segi jangka panjang, program TV yang lengkap dan selaras dengan kurikulum negara ini diharap akan menjadi satu sumber rujukan kepada penuntut dan ibu bapa terutama pelajar di peringkat rendah bawah.

Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Hamzah bin Haji Sulaiman berkata sedemikian semasa menjawab soalan orang ramai mengenai sukatan pembelajaran dalam program rancangan pembelajaran di rumah, yang disiarkan di RTB, ketinggalan daripada apa yang guru ajar pada masa ini.

Beliau seterusnya menjelaskan, selain studio RTB, Dewan Utama Kementerian Pendidikan juga dijadikan tempat rakaman dan pada masa ini, beberapa buah sekolah sedang mengusahakan membuat studio bagi mempercepatkan lagi proses rakaman.

“Usaha kementerian adalah berterusan, hanya disebabkan gelombang kedua pandemik ini menjadi cabaran untuk mengadakan proses rakaman secara fizikal dan merakam lebih banyak pendidikan TV,” jelas Yang Berhormat Dato pada sidang media di Kementerian Kesihatan, hari ini.

Yang Berhormat Dato seterusnya menjelaskan, walaupun berhadapan dengan cabaran, usaha berkenaan masih diteruskan dan beliau mengucapkan terima kasih kepada guru-guru dan pegawai yang telah berusaha menyiapkan program tersebut.

Selain itu, tambah beliau, ia merupakan inisiatif yang memerlukan banyak usaha di mana ia merangkumi semua kurikulum.

“Ia adalah inisiatif yang besar dan mungkin memakan masa dan diharap program TV pendidikan negara ini akan dapat dinikmati oleh semua pelajar di semua peringkat,” ujarnya lagi.