Program vaksinasi dos penggalak Labuan berjalan lancar

LABUAN, 8 DIS – Program vaksinasi COVID-19 bagi dos penggalak untuk warga Labuan berjalan lancar tanpa menghadapi cabaran besar, kata Pengerusi Pasukan Petugas Khas Imunisasi COVID-19 (CITF) Labuan Rithuan Ismail.

Beliau berkata hampir 20 peratus daripada 68,500 populasi dewasa untuk program itu di Labuan setakat ini telah menerima dos penggalak dan bilangan itu tidak termasuk individu yang bekerja dalam sektor berkaitan minyak dan gas serta pelarian Filipina di dua Skim Penempatan Ma-syarakat Pelarian di Kampung Muslim dan Kiamsam.

“Langkah-langkah kawalan pandemik dan usaha vaksinasi COVID-19 kebangsaan berjalan lancar seperti yang dirancang di Labuan.

“Setiap hari orang ramai hadir di Klinik Kesihatan Membedai serta klinik swasta yang diiktiraf untuk suntikan dos penggalak, walaupun pada kadar yang perlahan, ia berjalan secara berperingkat,” katanya.

Rithuan berkata setakat ini momentum vaksinasi bagi dos penggalak konsisten dengan lebih 12,339 suntikan (atau 18.01 peratus) telah diberikan setakat 6 Dis semua di pulau bebas cukai itu dan mereka yang berkhidmat dalam sektor minyak dan gas akan diberi vaksinasi dos penggalak tanpa mengira kewarganegaraan mereka. 

Labuan merupakan Wilayah Persekutuan pertama di Malaysia mencapai imuniti kelompok COVID-19 dan populasi dewasanya merekodkan kadar vaksinasi 100 peratus (dua dos) pada 7 Sept. – Bernama

Seorang petugas penjagaan kesihatan memberikan suntikan vaksin COVID-19 kepada seorang penerima di pusat vaksinasi di Klinik Kesihatan Membedai, semalam. – Bernama