Program vaksinasi pulihkan sektor pelancongan global

Oleh SIM Y. H.

Penularan pandemik COVID-19 global telah memaksa perintah larangan perjalanan meluas perlu dilaksanakan sehingga ia menyebabkan industri pelancongan global mengalami krisis terburuk.

Kerugian daripada pelancongan antarabangsa dan sektor sampingannya dianggarkan mencapai sehingga AS$2.4 trilion pada 2020 dan ia juga mencapai anggaran setinggi AS$4.4 trilion jika aktiviti pelancongan domestik juga diambil kira.

Ketibaan pelancong antarabangsa juga menjunam sebanyak 73 peratus pada 2020 dan pada tempoh di antara Januari hingga Mei 2021, ia menjunam sebanyak 65 peratus disebabkan oleh kemunculan varian COVID-19 baharu dan sekatan pergerakan berterusan menghalang sebarang pemulihan.

Walaupun sebilangan besar pakar pelancongan menjangkakan pelancongan antarabangsa untuk kembali semula pada 2022, namun pemulihan berkenaan kepada tahap pra-pandemik tidak akan dicapai sehingga 2023 atau lebih lama lagi.

Industri pelancongan rantau ASEAN+3 terjejas teruk disebabkan oleh penularan pandemik COVID-19 tetapi dengan kadar vaksinasi COVID-19 yang meningkat, ia telah membuka jalan bagi menghidupkan kepada aktiviti pelancongan dan perjalanan.

Di Malaysia, sebuah program gelembung perjalanan rintis bagi para penduduk telah dimulakan dengan Langkawi di mana ia membenarkan pengembara yang bervaksin lengkap dari dalam negara untuk melawat ke pulau berkenaan. – Bernama

Perkara itu diketengahkan dalam nota analitik bertajuk, The Restart of Tourism in the ASEAN+3: When Will the Love Biat Sail Again?, yang dikeluarkan oleh ASEAN+3 Macroeconomic Research Office (AMRO), baru-baru ini.

Nota itu menjelaskan bahawa tidak ada rantau yang terhindar daripada kejatuhan kedatangan pelancong sejak pandemik COVID-19 mula menular secara global pada awal 2020 tetapi impaknya ke atas rantau ASEAN+3 adalah antara yang terbesar.

Di mana ia menyebabkan industri yang berkembang pesat itu mengalami kehilangan pendapatan sebanyak kira-kira AS$1.4 trilion pada 2020 serta menyebabkan kehilangan satu dalam lima pekerjaan pelancongan atau perjalanan.

Namun begitu, optimistik dengan perkembangan terkini dalam pelaksanaan vaksinasi COVID-19 di mana enam daripada 14 buah negara anggota ekonomi berkenaan telah melengkapkan vaksinasi untuk lebih dari 50 peratus penduduknya, memberikan gambaran yang baik bagi pemulihan secara beransur-ansur sektor berkenaan.

Salah satu sektor pelancongan yang terjejas teruk disebabkan oleh pandemik global berkenaan ialah pelancongan kapal pelayaran di mana ia merupakan antara mangsa terawal krisis kesihatan berterusan berkenaan dengan 1/5 armada kapal pelayaran laut global mencatatkan kes COVID-19 pada penghujung suku pertama 2020. Penularan itu telah menyebabkan penumpang dan kru kapal terkandas dengan kapal-kapal berkenaan dikenakan kuarantin atau ditegah untuk berlabuh disebabkan oleh penutupan sempadan.

Namun begitu, sektor pelancongan kapal pelayaran telah menyaksikan pemulihan pada lewat 2020 serta pertengahan 2021 di mana pelayaran menyaksikan jumlah penumpang dihadkan kepada 50 peratus serta langkah-langkah keselamatan yang ketat dilaksanakan bagi mematuhi keperluan COVID-19.

Nota itu menjelaskan bahawa data berfrekuensi tinggi bagi aktiviti kapal pelayaran mengesahkan kemunculan semula pelancongan kapal pelayaran walaupun masih terdapat banyak sekatan pergerakan merentas sempadan dengan sebilangan besar operasi kapal-kapal pelayaran dimulakan kembali di beberapa buah kawasan di Eropah pada lewat 2020 dan Amerika Syarikat pada pertengahan 2021.

Bagi rantau ASEAN+3, kemunculan semula industri berkenaan telah diterajui oleh operasi kapal pelayaran di Singapura dan Hong Kong yang memperkenalkan pelayaran, cruises to nowhere, iaitu pelayaran pergi-balik tanpa berlabuh di pelabuhan negara lain, di mana negara-negara jiran sebahagian besarnya masih lagi ditutup kepada pelancong luar negara.

Nota berkenaan juga menyatakan bahawa kemunculan semula pelancongan kapal pelayaran menandakan bagaimana permintaan terpendam dapat mendorong pemulihan yang lebih luas dalam pelancongan dan perjalanan global dengan lebih banyak sempadan mula untuk dibuka kembali.

Kemunculan aktiviti kapal pelayaran itu menunjukkan bahawa terdapat keinginan secara umum untuk berlayar atau mengembara tetapi bagi permintaan itu untuk ditunaikan secara meluas, ia masih bergantung pada kejayaan membendung jangkitan domestik virus berkenaan dan pengurangan sekatan perjalanan antarabangsa.

Dalam rantau ASEAN+3, beberapa buah ekonomi sedang memanfaatkan kadar vaksinasi yang meningkat untuk membuka semula destinasi pelancongan utama bagi pelawat tempatan dan luar negara dari kawasan yang mempunyai kadar jangkitan yang rendah.

Pendekatan itu sedang dilaksanakan oleh Indonesia dengan Bali, Malaysia dengan Langkawi dan Thailand dengan Phuket, di mana strategi seumpama itu dapat melegakan tekanan ke atas industri berkenaan daripada penutupan sempadan yang masih berterusan di rantau itu.

Pembukaan semula destinasi pelancongan boleh menjadi salah satu kaedah bagi ekonomi serantau untuk mengurangkan impak daripada strategi sifar-COVID yang diterajui oleh China, jelas AMRO dalam nota berkenaan. Rantau ASEAN+3 telah memperoleh manfaat daripada pelancongan dalam rantau yang mantap sebelum pandemik berkenaan dengan China merangkumi lebih daripada satu suku jumlah ketibaan antarabangsa pada 2019.

Kehilangan pelancong dari China yang disebabkan oleh larangan pergerakan yang ketat dan ujian berulang untuk membawa kes COVID-19 kepada sifar oleh negara berkenaan telah memberikan kesan yang signifikan kepada ekonomi serantau yang meraih manfaat daripada ketibaan itu dahulunya.

Ia amat ketara dalam negara-negara seperti Kemboja, Jepun, Korea, Myanmar, Thailand dan Vietnam di mana pelancong dari China merangkumi lebih daripada 30 peratus jumlah pelancong pada 2019.

Dalam hubungan itu, jelas AMRO, koridor atau gelumbung pelancongan dalam rantau Asia-Pasifik dan dengan ekonomi-ekonomi barat di mana risiko COVID-19 adalah terkawal, serta juga laluan perjalanan bagi yang bervaksin, dapat membantu untuk melegakan kesakitan yang dirasai oleh industri pelancongan.

Selain itu, gelembung perjalanan domestik juga boleh menjadi sumber bagi melegakan keadaan bagi ekonomi-ekonomi serantau yang lebih besar. AMRO dalam nota berkenaan menyatakan bahawa China yang terus menutup sempadan antarabangsanya dapat memanfaatkan pasaran domestiknya yang besar di mana perbelanjaan pelancongan dan perjalanan domestik merangkumi sebanyak kira-kira 87 peratus jumlah keseluruhan pada 2017.

Selain daripada China, pelancongan domestik juga menjadi peneraju untuk di Jepun iaitu sebanyak 84 peratus, Korea iaitu sebanyak 74 peratus dan Filipina iaitu sebanyak 86 peratus, di mana industri pelancongan boleh mendapat dorongan daripada penubuhan gelembung perjalanan domestik.

Di Malaysia pula, ulas AMRO, di mana pelancongan dan perjalanan domestik merangkumi kira-kira 48 peratus daripada jumlah keseluruhan pada 2017, sebuah program gelembung perjalanan rintis bagi para penduduk telah dimulakan dengan Langkawi di mana ia membenarkan pengembara yang bervaksin lengkap dari dalam negara untuk melawat ke pulau berkenaan.

Dengan kemunculan varian COVID-19, usaha untuk meningkatkan protokol keselamatan dan kesihatan sepanjang tempoh perjalanan dan riadah adalah amat mustahak untuk mengekalkan usaha bagi menghidupkan semula mana-mana industri.

Dalam hubungan itu, bagi menyesuaikan diri kepada COVID-19, memerlukan pelaksanaan norma baru bagi perjalanan di mana ia melibatkan keperluan vaksinasi, ujian virus dan standard sanitasi yang tinggi sebagai sebahagian daripada strategi pengurusan risiko yang lebih meluas.

Di samping itu, transformasi digital dan inovasi untuk mengurangkan titik sentuhan (touchpoints) serta pada masa yang sama, meningkatkan keberkesanan boleh membantu mempercepatkan usaha pemulihan pelancongan apabila keadaan mengizinkan nanti.

Berlatarbelakangkan semua itu, dasar-dasar tindakan yang bersepadu dan mantap adalah amat mustahak dalam menyediakan persekitaran yang membolehkan bagi industri pelancongan untuk menyesuaikan diri kepada norma baharu hidup bersama COVID-19.

Pada masa yang sama, pandemik itu juga telah memberikan peluang bagi kita untuk memajukan lagi usaha pelancongan bertanggungjawab dan mampan. Dengan kemunculan semula industri pelancongan, usaha untuk mengurangkan kos kepada sosial dan alam sekitar juga perlu diperkukuhkan.