Oleh Normazlina M.D
TUTONG, 24 Ogos – Sebagai salah satu usaha untuk memberi motivasi kepada para pelajar sebelum peperiksaan, Pusat Tingkatan Enam (PTE) Tutong telah menjalankan sesi Program Warkah iaitu salah satu inisiatif pihak sekolah di bawah Program Ilal Majdi Wan Najaah (IMAN), baru-baru ini.
Menerusi program tersebut, kira-kira 200 orang terdiri daripada ibu bapa dan penjaga pelajar Tahun 13 telah diundang untuk mendengar sesi taklimat yang disampaikan oleh Dekan Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB), Haji Mohd Syahiran bin Haji Mohd Sofian. Taklimat bertajuk ‘Peranan Ibu Bapa dalam Menyediakan Anak-anak Mereka untuk Menghadapi Peperiksaan’ mengetengahkan tanggungjawab ibu bapa dalam memupuk, menyokong dan memahami anak-anak mereka sebelum peperiksaan.
Program seterusnya melibatkan ibu bapa dan penjaga untuk menulis warkah iaitu kata-kata hikmat dan motivasi kepada anak-anak mereka. Adapun tujuan program ini diadakan adalah untuk meningkatkan fokus, keyakinan dan motivasi pelajar sebagai persediaan menghadapi peperiksaan dan sebagai salah satu cara perhubungan pihak sekolah bersama ibu bapa pelajar dalam menyokong dan meningkatkan pencapaian akademik anak-anak mereka.
Turut hadir dalam program tersebut ialah Pengetua PTE Tutong, Hajah Murni binti Abdullah.