Oleh Siti Nur Wasimah S.
BANDAR SERI BEGAWAN, 21 Okt – Program Belia Menentang Kemiskinan (YAP) ke-3 dengan tema ‘Passion Meets Innovation’ anjuran Society for Community Outreach and Training (SCOT) telah melabuh tirainya hari ini dengan Majlis Penutup dan Penyampaian Anugerah Geran yang diadakan di Ibu Pejabat Progresif Cellular Sdn Bhd.
Hadir selaku tetamu kehormat dan seterusnya menyempurnakan penyampaian anugerah ialah ahli Lembaga Pengarah Progresif Cellular Sdn Bhd, Awang Edzwan Zukri bin Pehin Orang Kaya Johan Pahlawan Dato Seri Setia Haji Adanan.
Turut hadir ialah ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Dayang Nik Hafimi binti Abdul Haadii. Program tersebut telah diadakan selama empat hari iaitu 13 hingga 14 Oktober dan 20 hingga 21 Oktober di Universiti Brunei Darussalam (UBD) dengan disertai 23 orang belia tempatan.
Sepanjang program, para peserta telah dibahagikan kepada beberapa pasukan dan mereka berpeluang untuk menilai isu-isu berkaitan kemiskinan yang sebenar yang dihadapi di negara ini di samping menyediakan penyelesaian inovatif mampan yang boleh dilaksanakan dan sebagai projek berpotensi pada masa akan datang.
Para peserta juga diberikan bimbingan oleh mentor dan penceramah dengan ceramah motivasi dalam membimbing mereka untuk idea-idea projek mereka sebelum dibentangkan di hadapan panel hakim. Semasa bengkel itu, para peserta juga telah melawat keluarga kurang bernasib baik untuk melihat sendiri keadaan yang dihadapi.
Ketua Projek YAP, Awang Ahmad Syauqie bin Haji Satia dalam ucapannya berkata, program berkenaan bukan sahaja memberikan platform kepada belia-belia muda agar sentiasa peka mengenai kemiskinan, tetapi juga diberi peluang untuk melakukan sesuatu mengenainya.
Beliau berharap agar program ini menjadi perjalanan inspirasi dan pendidikan untuk peserta dan agar mereka sentiasa mempunyai idea-idea yang dapat dilaksanakan dalam menyumbang kepada pembangunan masyarakat yang positif.
Majlis kemudian diteruskan lagi dengan pembentangan projek-projek daripada lima buah kumpulan iaitu Kumpulan Eye Care, Kumpulan BuzzSquad, Kumpulan Mind Goals, Kumpulan K4U dan Kumpulan Buttreflies of Hope sebelum ucapan penutup Penolong Ketua Projek YAP, Dayang Rafhanah binti Masri.
Awang Edzwan Zukri kemudian menyampaikan anugerah geran kepada pemenang pertama iaitu Kumpulan Eye Care, pemenang kedua Kumpulan K4U dan Kumpulan BuzzSquad di tempat ketiga.
