Program YEP asah bakat kepimpinan

Oleh Yusrin Junaidi
Gambar serahan IPA

BANDAR SERI BEGAWAN, 6 JAN – Seramai 29 orang menyertai Program Eksekutif Muda (YEP) ke-6 yang secara rasminya bermula hari ini dengan majlis perasmian di Institut Perkhidmatan Awan (IPA), Rimba.

Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis perasmian berkenaan ialah Pemangku Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), Awang Rusdi bin Haji Judin.

Pengarah IPA, Dr Hajah Noor Maya binti Haji Mohd Salleh dalam ucapan alu-aluannya melahirkan harapan bahawa di peringkat pertama setelah mengikuti program berkenaan, peserta akan dapat membangunkan karakter diri termasuk kerohanian, mental dan fizikal selain pembangunan kemahiran dan keupayaan peserta.

Di peringkat kedua, ketua-ketua jabatan diharap dapat melihat perkembangan jabatan melalui inisiatif dan sumbangan peserta kepada jabatan masing-masing, manakala peringkat ketiga ialah tercapainya perancangan kerajaan dalam pelaburan modal insan.

Selaras dengan objektif program iaitu memberikan keupayaan pegawai-pegawai serta mempertingkatkan kemahiran kepimpinan dan mendedahkan peserta kepada amalan-amalan baik dalam perkhidmatan awam dan hasrat untuk mendapatkan hasil pulangan untuk pembangunan sosioekonomi negara, beberapa tenaga pengajar dan penceramah telah dijemput dari berbagai-bagai kelompok termasuk akademik dan practitioner yang akan turut serta memberi latar belakang mengenai pentadbiran dan cabaran-cabaran yang dihadapi di Negara Brunei Darussalam.

Awang Rusdi semasa menyampaikan ucapan alu-aluannya pada Program Eksekutif Muda ke-6 yang berlangsung di Institut Perkhidmatan Awam, Rimba.
Antara peserta yang menghadiri Program Eksekutif Muda ke-6 di Institut Perkhidmatan Awam, Rimba.

Dengan usaha-usaha berkenaan, para peserta diharap akan dapat memanfaatkan peluang yang diberikan dan mengikuti program ini dengan penuh komitmen, dedikasi dan perasaan gembira.

Majlis juga mendengarkan ucapan perasmian daripada tetamu kehormat yang antara lain mengucapkan tahniah kepada peserta kerana berjaya melepasi tiga peringkat Program Pemilihan ES2.1 dan seterusnya terpilih untuk mengikuti program kohort keenam berkenaan.

Program Pemilihan ES2.1 yang dilakukan oleh pihak JPA dan kerjasama daripada IPA bukanlah berdasarkan kepada siapa yang lebih pantas, kuat atau cergas, tetapi berdasarkan kepada potensi kepimpinan yang ada pada diri para peserta. Mengulas mengenai potensi kepimpinan, Awang Rusdi berkata, kepimpinan yang dinilai pada para semua di peringkat awal perkhidmatan lebih memfokuskan kepada kepimpinan diri.

Ini termasuk,keupayaan membawa diri untuk sentiasa tenang apabila diberi tugasan, cerdas, mempunyai disiplin dan sikap yang positif, mempunyai keupayaan dan keyakinan diri untuk bekerjasama dengan ahli kumpulan yang lain, menghormati pendapat orang lain, saling bantu-membantu, mempunyai kemampuan berkomunikasi dengan baik dan sebagainya.

Ciri-ciri kepimpinan seperti inilah yang dicari dan dibentuk serta ditingkatkan lagi semasa mengikuti YEP ke-6 selain daripada memberikan pengetahuan dan kemahiran yang diperlukan untuk memulakan kerjaya dan melaksanakan tugas dalam perkhidmatan awam, tambah beliau.

Katanya lagi, beliau percaya dengan memberikan pegawai-pegawai muda dengan latihan yang betul, program yang disediakan itu boleh meningkatkan dan mengukuhkan lagi bakat dan potensi kepimpinan yang sedia ada.

Menurut kenyataan yang diberikan, objektif program berkenaan adalah untuk membangun dan mengurus pemimpin berpotensi dengan nilai tinggi dan tingkah laku positif, yang kemudiannya dapat mencapai keputusan yang diinginkan dan meningkatkan prestasi organisasi.

Program bertujuan untuk memperkukuh keupayaan pemimpin masa depan bagi memenuhi keperluan orang ramai yang sentiasa berubah.

YEP adalah kemasukan pertama ke dalam Barisan Kepimpinan Perkhidmatan Awam (CSLP) di bawah Rangka Kerja Perkhidmatan Awam.

YEP pertama telah dijalankan pada tahun 2017 dan semua kohort program itu telah dikendalikan oleh IPA.

YEP ke-6 tahun ini akan dijalankan dalam tempoh 12 minggu yang merangkumi empat modul teras iaitu sikap dan kemahiran asas, pembangunan profesional, berwawasan dan berpandangan jauh, serta penglibatan pihak berkepentingan dan komuniti.