Thursday, April 25, 2024
24.3 C
Brunei

    -

    Progresif, Alibaba Cloud jalin kerjasama

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 15 MAC – Selaras dengan Wawasan Brunei 2035, pendigitalan merupakan salah satu agenda negara di mana Pelan Induk Ekonomi Digital 2025 telah dilancarkan pada 2020 oleh kerajaan untuk membimbing usaha negara bagi mencapai kemapanan dan kemakmuran ekonomi menerusi transformasi digital.

    Perkembangan pendigitalan ini terus memacu pembangunan inovatif Brunei di pelbagai institusi awam dan swasta dalam beberapa tahun kebelakangan ini.

    Sehubungan itu, Progresif bermatlamat untuk memainkan peranan utama pada perkembangan pendigitalan di mana mereka berhasrat untuk mengembangkan lagi pasaran keusahawanan melalui pelaksanaan aplikasi IoT dan aplikasi berasaskan kecerdasan buatan (AI).

    Perkara itu diterangkan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Progresif, Hajah Nurul Haniah binti Haji Jaafar dalam ucapannya semasa Pelancaran Progresif Xperience Center (EXC) yang berlangsung di Ibu Pejabat Progresif, kelmarin.

    Turut hadir ialah Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Dato’ Raja Reza bin Raja Zaib Shah; Timbalan Pesuruhjaya Tinggi Singapura, Suruhanjaya Tinggi Singapura, Shaun Grosse; Kaunselor Ekonomi dan Komersial Kedutaan Republik Rakyat China di Negara Brunei Darussalam, Kang Wen serta pasukan pengurusan Progresif Sdn Bhd.

    Hajah Nurul Haniah (dua dari kiri) dan Dr Derek Wang (dua dari kanan) semasa menandatangani MoU mewakili Progresif dan Alibaba Cloud, kelmarin.

    Majlis itu meraikan komitmen syarikat berkenaan untuk menyampaikan penyelesaian teknologi canggih kepada klien mereka. Majlis membawa tema, Is your Network Future Ready?, di mana para jemputan berpeluang untuk menyaksikan demonstrasi langsung penyelesaian terkini daripada rakan kongsi eksklusif Progresif, ceramah bermaklumat daripada pakar-pakar industri dan peluang untuk berinteraksi dengan pasukan berpengetahuan serta berpengalaman Progresif.

    Hajah Nurul Haniah menyatakan harapan dengan pembangunan penyelesaian perniagaan di EXC, mereka akan dapat terus menyokong klien baharu dan sedia ada mereka dalam meningkatkan kualiti kehidupan dan pekerjaan menerusi keterangkuman digital.

    Progresif EXC merupakan perkhidmatan pemantauan rangkaian peribadi canggih yang dibangunkan oleh Progresif bagi klien mereka dengan menekankan kepada perkhidmatan sekuriti, prestasi, laporan dan pengurusan kluster sebagai sebahagian daripada tawaran perkhidmatan pengurusannya.

    Sistem khusus yang diketengahkan merangkumi pemantauan, pengurusan laporan, meningkatkan sekuriti, pengurusan data proaktif serta pelbagai fungsi yang boleh disesuaikan menurut keperluan klien.

    Pada pelancaran itu, Progresif EXC mengetengahkan beberapa tawaran yang pertama seumpamanya di dalam negara khususnya Never Get Disconnected (5G ready), SD-Wan as a Service (5G Ready) dan Proactive Automated Ticketing Feature.

    Pada majlis berkenaan juga, penandatanganan Memorandum Persefahaman di antara Alibaba Cloud dan Progresif turut diadakan di mana menandatangani bagi pihak Progresif ialah Hajah Nurul Haniah dan bagi Alibaba Cloud ialah Pengurus Besar Singapura, Asia Selatan dan Thailand, Alibaba Cloud Intelligence, Dr Derek Wang.

    Perjanjian di antara kedua-dua pihak berkenaan menggariskan kolaborasi perniagaan berpotensi dalam bidang perkhidmatan cloud di Negara Brunei Darussalam yang akan memanfaatkan rakyat dan penduduk Brunei dalam memperbaiki kecekapan dan produktiviti serta berkongsi ilmu pengetahuan dan amalan terbaik terhadap perkhidmatan cloud.

    Kolaborasi itu bermatlamat untuk mengembangkan lagi pasaran menerusi aplikasi Internet of Things (IoT), aplikasi berasaskan AI dan lain-lain untuk membina serta menggalakkan kecekapan di serata organisasi selaras dengan aspirasi negara untuk menjadi sebuah negara pintar.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gangguan bekalan elektrik, pelepasan air terawat Fukushima digantung

    TOKYO, 24 APRIL - Pelepasan air sisa terawat ke lautan dari loji nuklear Fukushima yang rosak telah digantung hari ini berikutan gangguan bekalan elektrik...