BANDAR SERI BEGAWAN, 13 April – Progresif Cellular Sdn Bhd telah mengumumkan kejayaan kerjasama dengan Pusat Rangkaian, Pekerjaan dan Latihan Kerjaya (CoNECT) di bawah Universiti Brunei Darussalam (UBD) untuk menjalankan bengkel pembangunan kerjaya selama tiga hari hingga hari ini bagi mahasiswa-mahasiswi UBD.
Menurut kenyataan Progresif, sesi-sesi berkenaan yang diadakan di Perpustakaan UBD merangkumi taklimat-taklimat mengenai cerita Progresif, nasihat kerjaya dan bengkel CV yang dikendalikan oleh Jabatan Sumber-Sumber Manusia Progresif.
Ketua Pegawai Pemasaran Progresif, Devin Edwards dipetik sebagai berkata, kerjasama dengan UBD itu adalah latihan persediaan bagi penuntut-penuntut yang memasuki pasaran pekerjaan sebagai prospek baru.
“Kolaborasi dengan UBD ini adalah hasil daripada kerja keras dan keinginan bersama untuk membantu pemindahan pengetahuan dan latihan bagi membantu para penuntut bersedia memasuki tenaga kerja di Brunei. Program-program yang kami laksanakan telah membawa kepada beberapa pekerjaan baru dihasilkan di Progresif.
“Kami sangat gembira kerana bekerjasama lagi dengan UBD tatkala kami terus mengukuhkan penglibatan dan pelaburan kami dalam pendidikan. Kami tidak sabar untuk bekerjasama dengan institusi-institusi pendidikan lain di negara ini bagi peluang-peluang memainkan peranan memupuk pelajar-pelajar di Brunei,” katanya lagi.

Menurut kenyataan itu, Ketua Modal Insan Progresif, Awang Mohd Fauzi Mosdaram telah menyampaikan taklimat mengenai pembangunan kerja dan pencarian kerja sementara mengetengahkan kepentingan membuat resume betul sehingga proses temu duga dan pengambilan.
“Kami mahu memberikan pelajar peluang untuk menjawab soalan-soalan yang dijangkakan daripada majikan semasa temu duga supaya mereka dapat lebih bersedia bagi temu duga pekerjaan pada masa depan,” katanya.
Bengkel tiga hari itu telah dirasmikan oleh Pembantu Naib Canselor (Akademik), UBD, Profesor Madya Dr. Mohammad Ayub Sadiq @ Lin Naing.
Progresif telah lama membuat komitmen kepada sektor pendidikan dan akan berusaha untuk memupuk keupayaan dan bakat pelajar-pelajar di Brunei sama ada menerusi pelaburan atau bekerjasama dengan institusi-institusi pendidikan utama di negara ini.
Syarikat berkenaan bersedia untuk menyokong aspirasi Brunei bagi ekonomi berasaskan pengetahuan menerusi pelaburan ke dalam pendidikan yang merupakan salah satu daripada empat tonggak bagi tanggungjawab sosial Progresif.