Progresif, Kementerian Kesihatan anjur kempen promosi vaksinasi

Oleh Sim Y.H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 17 NOV – Dalam usaha untuk menggalakkan orang ramai  mendapatkan suntikan vaksinasi COVID-19, terutama suntikan dos kedua, Kementerian Kesihatan sedang bekerjasama dengan Syarikat Progresif Sdn Bhd (Progresif) mengadakan kempen promosi Program Vaksinasi Kebangsaan COVID-19, sebagai salah satu tanggungjawab sosial korporat syarikat berkenaan.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan, di sini, hari ini, kempen promosi itu berlangsung dari 10 November hingga 20 November.

Kempen itu merangkumi pemberian data percuma 2GB kepada pengguna-pengguna Progresif yang mendapatkan suntikan vaksinasi kedua mereka di Pusat Vaksinasi Dewan Kemasyarakatan Belalong, Daerah Temburong.

Bagi orang ramai yang bukan pengguna Progresif akan diberikan buku nota dan pen dari Progresif serta cabutan bertuah anjuran bersama di antara Syarikat Integrated Communications Sdn Bhd (INCOMM) dan Syarikat Progresif Sdn Bhd, khusus bagi orang ramai yang mendapatkan suntikan vaksinasi mereka di kesemua pusat-pusat vaksinasi, sama ada suntikan dos pertama atau dos kedua, yang mana hadiah cabutan bertuah tersebut adalah sebuah telefon bimbit iPhone 13 Mini dan sekeping kad SIM Prepaid Starter Pack. 

Kesemua pusat-pusat vaksinasi terlibat di dalam cabutan bertuah berkenaan.

Pemenang bagi cabutan bertuah ini akan diumumkan melalui media  sosial Kementerian Kesihatan, Progresif dan INCOMM.