Progresif komited bantu tingkat akses pembelajaran dalam talian

Oleh Ak Zaki Kasharan

BANDAR SERI BEGAWAN, 13 MEI – Sejurus selepas Kementerian Pendidikan mengumumkan penutupan sekolah-sekolah di negara ini berikutan kebimbangan terhadap penularan wabak COVID-19, semua pelajar dan kakitangan sekolah di seluruh negara adalah diseru untuk menggunakan kaedah pembelajaran secara dalam talian.

Syarikat Progresif telah berusaha dan bekerja keras dalam meningkatkan akses untuk pembelajaran secara dalam talian kepada semua pelajar di seluruh negara.

Sebagai sebuah syarikat telekomunikasi terkemuka, Progresif turut bertanggungjawab untuk membantu bagi menyediakan penyelesaian rangkaian mudah alih bagi para pelajar.

Sehubungan dengan itu, Progresif telah menghulurkan sumbangan kepada sektor pendidikan di negara ini melalui kerjasama dengan D’Sunlit dan Ezy Printing bagi memperkasakan pembelajaran dalam talian.

Sebanyak 10 institusi di peringkat menengah dan pengajian tinggi telah dikenalpasti untuk dibantu oleh Kementerian Pendidikan dalam sumbangan itu.

Pihak pengurusan Progresif bergambar ramai bersama rakan kerjasama semasa penyampaian sumbangan.

Tujuh daripadanya adalah daripada peringkat sekolah menengah manakala tiga buah institusi lagi merupakan daripada peringkat pengajian tinggi.

Sebanyak 200 sim kad Progresif Zoom yang membolehkan penggunaan Internet tanpa had untuk melayari laman web dibekalkan. D’Sunlit dan Ezy Printing pula masing-masing menyumbangkan sebanyak $10,000 dan $1,000 yang mana penyerahan sumbangan tersebut disaksikan perwakilan dari Pejabat Pengarah Besar, Kementerian Pendidikan, Haji Mohd Aziman bin Haji Tengah.

Ketua Strategi Penjenamaan Progresif, Dayang Hafiza binti Mohamad turut menjelaskan bahawa sokongan terhadap pendidikan merupakan tunjang utama tanggungjawab sosial korporat Progresif.

Oleh itu sejurus pengumuman mengenai pembelajaran secara dalam talian, Progresif mula memantau keadaan de-ngan teliti di mana mereka mencari ruang untuk membantu dan mengenalpasti apa yang dapat mereka bantu.

Pada masa yang sama, mereka juga memperkenalkan produk OnePlan baharu dengan tawaran harga yang murah untuk mengakses Internet dan pelanggan juga boleh menaiktaraf data mudah alih 5GB dengan hanya $10.

Progresif juga telah memperkenalkan 1% Pledge forProgress di mana 1 peratus pendapatannya akan disumbangkan kepada kepada komuniti melalui CSR, termasuklah pendidikan.