Progresif lancar kios layan diri, jaga penjarakan fizikal

Oleh Ak Zaki Kasharan

BANDAR SERI BEGAWAN, 15 SEPT – Progresif Sdn Bhd hari ini telah melancarkan kios layan diri sebagai respon terhadap langkah penjarakan fizikal yang dilaksanakan sejak gelombang kedua penularan COVID-19 di negara ini.

Berikutan dengan pelan kelangsungan perniagaan (BCP) serta kakitangan yang bekerja dari rumah dan memperbaiki dasar operasi kedainya untuk mempromosikan persekitaran yang selamat dan penjarakan fizikal, Progresif terus mencari jalan untuk melayani pelanggannya yang semakin berkembang.

Kios layan diri menawarkan kepada pelanggan pilihan untuk membayar bil mereka dan menambah nilai akaun prabayar pelanggan tanpa perlu bersemuka, dan selesa. Untuk membayar bil atau membeli tambah nilai, pelanggan hanya perlu memasukkan nombor telefon mereka dan jumlah yang perlu dibayar atau jumlah tambah nilai yang mereka perlukan. Pelanggan mempunyai pilihan untuk membayar menggunakan PocketApp atau menggunakan kad kredit atau debit.

Setelah pembayaran berjaya, pelanggan dapat memilih untuk mengirim resit ke e-mel mereka atau mengambil gambar transaksi sebagai bukti pembayaran.

Ketua Pegawai Jualan Progresif, Awang Junaidi Bahrum menyatakan bahawa “Keutamaan kami adalah ke-selamatan dan kesejahteraan pelanggan dan kakitangan kami, oleh itu kami perlu mencari jalan untuk mempromosikan persekitaran yang selamat di mana penjarakan fizikal dapat dilakukan dan memastikan interaksi minimum tanpa menjejaskan perkhidmatan pelanggan kami.

“Jenama ini telah memperkenalkan banyak pilihan yang bertujuan untuk memberi kemudahan kepada pelanggan kami seperti melancarkan kios layan diri atau pilihan pembayaran dalam talian melalui aplikasi Progresif CARE dan aplikasi perbankan dalam talian serta memesan produk dan perkhidmatan Progresif secara dalam talian melalui kedai web kami dengan penghantaran percuma,” tambah Awang Junaidi. Progresif bekerjasama dengan ThreeGMedia Sdn Bhd bagi pengaturan kios layan diri mereka yang terletak di Times Square dan akan tersedia di Progresif Seria tidak lama lagi.

Kios layan diri Progresif yang baharu diperkenalkan di kedai Progresif Times Square kelmarin.
Salah seorang pelanggan Progresif semasa menggunakan kios layan diri berkenaan.