Progresif lancar pelan MORE

Gambar serahan Progresif

BANDAR SERI BEGAWAN, 23 OGOS – Progresif Sdn Bhd telah melancarkan pelan mudah alih pasca bayar baharu dinamakan MORE, yang menawarkan lebih banyak pilihan data dengan harga mampu milik.

Pelan baharu berkenaan telah diperkenalkan dalam pelancaran digital menerusi saluran-saluran media sosial syarikat berkenaan berikutan gelombang kedua penularan wabak COVID-19, menurut kenyataan yang dikeluarkan Progresif di sini, hari ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Progresif, Hajah Nurul Haniah binti Haji Jaafar; Ketua Pegawai Komersial dan Digital, Awang Adi Iskandar bin Haji Basri dan Ketua Pegawai Strategi Korporat,
Awang Johan bin Dato Dr Haji Johar telah memperkenalkan pelan-pelan baharu berkenaan di samping beberapa pengemaskinian terhadap inisiatif-inisiatif syarikat tersebut untuk memastikan penduduk Brunei terus berhubung semasa berada di rumah.

Semasa pelancaran itu, Awang Adi Iskandar telah memperkenalkan harga pelan MORE dan berkongsi maklumat mengenai rasional dan strategik di sebalik tawaran baharu berkenaan.

Awang Johan juga mengumumkan kerjasama baharu bersama CRIT Gaming bagi siri AMPRO dan MINDTREX Academy serta memberikan kemas kini mengenai kempen Donate Data yang dilaksanakannya.

Hajah Nurul Haniah semasa pelancaran menerusi media sosial Progresif.
Antara yang menyertai kempen TikTok yang dianjurkan Progresif sempena pelancaran itu.

Kenyataan menjelaskan, pelan-pelan MORE memberikan lebih banyak data pada harga rendah dengan kontrak 12 atau 18 bulan. Terdapat empat pilihan pelan yang ditawarkan iaitu bagi 16GB, 15GB, 20GB dan 35GB.

Menurut kenyataan itu lagi, data-data berkenaan adalah sah selama 30 hari di samping itu, pelan berkenaan juga termasuk perkhidmatan SMS dan panggilan.

Apabila pelanggan kekurangan data, mereka akan dimaklumkan menerusi SMS dan pelan baharu tersebut juga didatangkan dengan set data tambahan baharu yang boleh didapati menerusi aplikasi Progresif CARE.

Berikutan pelancaran digital pelan berkenaan, Progresif mengadakan kempen TikTok dinamakan #MORECHALLENGE yang dilancarkan dengan pendedahan jingel 15 saat di akaun Tiktok syarikat berkenaan.

Menerusi kempen itu, Progresif mengalu-alukan orang ramai untuk menghasilkan kandungan di TikTok menggunakan jingel MORE berkenaan berdasarkan kreativiti masing-masing.

Pemenang akan dibahagikan kepada dua kategori iaitu tiga teratas paling kreatif dan tiga teratas paling disukai.

Para pemenang akan diumumkan pada penghujung kempen.