Monday, March 27, 2023
25.5 C
Brunei

-

Progresif rai kepimpinan wanita

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 10 MAC – Kita kini menyaksikan jumlah pemimpin wanita yang meningkat di Negara Brunei Darussalam dalam pelbagai peranan kepimpinan di sektor kerajaan dan swasta serta sebagai usahawan dalam ruangan perusahaan mikro, kecil dan sederhana.

Perkara itu dinyatakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Progresif, Hajah Nurul Haniah binti Haji Jaafar dalam ucapannya semasa Acara Panel Perbincangan bertemakan Wanita di Barisan Hadapan Perkembangan yang berlangsung di RUANG, Kompleks Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah, Bandar Seri Begawan, hari ini.

Beliau turut menyatakan harapan dengan adanya platform bagi kita untuk sama-sama bekerjasama dan berkomunikasi, berinovasi dan berkongsi idea, bersama mereka dapat memperkasa dan diperkasa untuk merealisasikan potensi penuh mereka serta menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi.

Acara panel perbincangan berkenaan mengetengahkan lima orang ahli panel iaitu Pesuruhjaya Tinggi Kanada ke Negara Brunei Darussalam, Puan Yang Terutama Ambra Dickie; Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Urusan Brunei LNG, Hajah Farida binti Dato Talib; Dekan Fakulti Sastera dan Sains Sosial, Universiti Brunei Darussalam (UBD), Penolong Profesor Penulisan Kreatif dan Kesusasteraan, Dr Kathrina Mohd Daud, yang juga merupakan penulis buku, The Fisherman King and The Witch Doctor’s Daughter; peguam dan pegawai pendakwa Pejabat Peguam Negara, ahli Jawatankuasa Eksekutif MKM, Dayang Natasha Halim, yang juga Mentor di Girls4Girls Brunei; serta Jurulatih Utama dan Koordinator Latihan di Akademi Guru dan Kepimpinan Brunei Darussalam (BDLTA), Awang Mohammad Syafiq Abu Bakar.

Selaras dengan tonggak tanggungjawab sosial korporat Progresif, syarikat berkenaan berhasrat menarik perhatian kepada pencapaian wanita dan memupuk perbualan dalam isu-isu yang berbeza yang dihadapi oleh wanita pada masa kini serta penyelesaian untuk menanganinya.

Pada tahun lalu, Progresif telah mengambil bahagian dalam inisiatif tahunan Komuniti Dapur Sosial di mana matlamat usaha berkenaan adalah untuk membantu keluarga berpendapatan rendah terutamanya ibu-ibu tunggal, dalam membungkus dan menjual masakan mereka di acara-acara atau sebagai sumbangan di seluruh Brunei.

Satu lagi projek yang dilaksanakan oleh Progresif adalah bulan Kesedaran Kanser Payu Dara di mana mereka telah menganjurkan aktiviti riadah berjalan kaki dan menghoskan acara penyampaian hadiah dalaman iaitu pakej pemeriksaan payu dara bagi kakitangannya.

Acara-acara Hari Wanita Antarabangsa (IWD) bukan sahaja dihasratkan untuk meraikan pencapaian wanita tetapi ia juga untuk membincangkan usaha untuk mengangkat wanita di tempat kerja dan kejayaan pemimpin-pemimpin wanita serta mengenali akan kewujudan jurang jantina di tempat kerja dan bagaimana wanita boleh berdiri di laluan ke arah perkembangan.

IWD juga dihasratkan untuk meningkatkan kesedaran hak wanita, mengenal pasti cabaran-cabaran yang dihadapi wanita di seluruh dunia dan untuk meraikan pencapaian politik, kebudayaan, ekonomi dan sosial wanita di serata dunia.

Hajah Nurul Haniah semasa menyampaikan ucapan alu-aluannya, kelmarin.
Barisan ahli panel semasa acara tersebut, kelmarin.
Antara jemputan yang hadir di RUANG, Kompleks Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah, Bandar Seri Begawan, kelmarin.

- Advertisment -

Disyorkan Untuk Anda

Menteri luar NZ luah kerisauan terhadap china

BEIJING, 26 MAC - Menteri Luar New Zealand, Nanaia Mahuta telah menyatakan kebimbangan kepada China mengenai sebarang peruntukan bantuan mematikan untuk menyokong Rusia dalam...
- Advertisment -