Progresif rancang transformasi ruang jualan, operasi

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 19 OKT – Dengan matlamat untuk terus mengotakan janjinya sebagai jenama yang sentiasa memacu progresif, Progresif Sdn Bhd, hari ini, memperkenalkan rancangannya untuk mentransformasikan ruangan jualan dan operasinya supaya dapat lebih menampung keperluan dan tabiat pengguna abad ke-21 yang berubah.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Progresif, di sini, hari ini, ia mengumumkan pelbagai fasa baharu pelan transformasi jualan di mana ia diharap dapat merenung semula kaedah untuk memberikan layanan kepada pelanggan menerusi tiga pembangunan utama iaitu pelancaran Progresif Street Teams, pengubahsuaian transformasi kedai-kedainya untuk menampung pengalaman yang baharu serta penutupan kedai-kedai di An-Nuha (Tanjung Bunut) dan Kuala Belait untuk menjana pasukan wakil jualan lincah yang dapat memasuki komuniti menerusi pop-ups di seluruh negara.

Kenyataan menyatakan bahawa sejak penubuhan Unified National Networks (UNN) dan pelancaran semula syarikat-syarikat telekomunikasi pada awal 2020, tahun ini telah menyaksikan pergerakan yang belum pernah dilihat sebelum ini, dalam industri komunikasi negara.

Bagi Progresif, selepas pelancaran pelan data baharu, One Home dan One Mobile pada awal Februari lalu, jenama itu telah mempercepatkan pembangunan platform jualan dalam talian dengan penghantaran dari pintu ke pintu bagi produk-produk mereka supaya dapat memenuhi pesanan stay-at-home semasa April hingga Jun.

Dengan lebih 1,000 pesanan dihantar dalam tiga bulan pertama, Progresif mengambil keputusan untuk terus melancarkan transformasi jualan (retail) di mana fasa seterusnya baru sahaja diumumkan, jelas kenyataan itu lagi.

Menurut Devin Edwards yang menerajui projek transformasi jualan berkenaan, orang ramai dapat mengalami ruang jualan yang baharu di mana ia akan menggabungkan kesemua produk dan perkhidmatan digital dengan lebih baik seperti Progresif Media, PAY, Events dan produk-produk baharu yang menarik yang akan diumumkan pada masa terdekat.

Pengalaman baharu yang segar itu, menurut jenama berkenaan, juga akan menyaksi-
kan Progresif Street Teams menukar hala tuju dinamik jualan sedia ada dengan Progresif berkunjung kepada pelanggan dan bukan sebaliknya.

Ketua Strategi Jenama Progresif, Hafiza Mohamad menyatakan bahawa salah satu pendekatan baharu yang akan dilaksanakan adalah jerayawara jualan yang bakal diadakan pada hujung Oktober nanti di mana mereka akan mengadakannya di Kementerian Kewangan dan Ekonomi, mempromosikan pelan data mereka, peranti baharu dan juga meneruskan usaha menyokong ke arah kemajuan bagi alam sekitar, keusahawanan, pendidikan dan kebudayaan serta kesenian.

“Ia merupakan masa yang menarik untuk menjadi seorang Progresif dan pelan kami adalah untuk menjadinya tidak kurang menariknya untuk menjadi salah seorang daripada pelanggan kami,” ujarnya.

Ilustrasi pelan transformasi ruang jualan Progresif. – Gambar serahan Progresif