Progresif, SCOT agih 400 pek makanan

Oleh Nurdiyanah R.

BANDAR SERI BEGAWAN, 7 SEPT – Dalam meniti cabaran menangani gelombang kedua COVID-19 yang melanda negara, Progresif Sdn Bhd juga tidak ketinggalan menghulurkan sumbangan sebagai tanggungjawab sosial korporat (CSR) bersama Society for Community Outreach and Training (SCOT) menerusi Program Dapur Sosial.

Progresif dalam kenyataan yang dikeluarkan, menyatakan bahawa sebanyak 400 pek makanan telah diagih-agihkan kepada para petugas barisan hadapan dan pesakit-pesakit COVID-19 di pusat-pusat pengasingan di negara ini demi mengenang segala pengorbanan dan serba sedikit meringankan beban mereka.

Ketua Pegawai Eksekutif Progresif, Hajah Nurul Haniah binti Haji Jaafar bersama pegawai dan kakitangan syarikat berkenaan telah menyempurnakan penyerahan sumbangan pek makanan tersebut ke lokasi-lokasi terpilih antaranya Kompleks Sukan Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha (RIPAS), Pusat Swab Pandu Lalu BRIDEX, Stadium Tertutup Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah, Berakas dan Pusat Pengasingan Kebangsaan Tutong.

Hajah Nurul Haniah menjelaskan, kegiatan amal bersama pihak SCOT menerusi Program Dapur Sosial tersebut mempunyai matlamat serupa seperti yang telah dilaksanakan pada tahun lepas.

“Sudah pastinya, kami akan meneruskan usaha ini dengan meluangkan masa serta memastikan rakan-rakan CSR dan masyarakat di negara ini yang memerlukan tidak akan terabai,” tambahnya lagi

Program Dapur Sosial bertujuan untuk membantu dan memperkasakan sosioekonomi dalam kalangan ibu-ibu yang mengalami cabaran terutamanya dari segi penyediaan pek-pek makanan dan juga melatih mereka untuk mendirikan perniagaan mereka sendiri.

Sehingga kini, SCOT telah menerima sumbangan 2,500 pek makanan yang dimasak untuk inisiatif para barisan hadapan negara.

Hajah Nurul Haniah ketika menyerahkan sumbangan pek makanan untuk para petugas barisan hadapan dan pesakit-pesakit COVID-19 di pusat-pusat pengasingan di negara ini. – Gambar serahan Progresif