Progresif sokong bakat pembikin filem muda UBD

Oleh Nurdiyanah R.

BANDAR SERI BEGAWAN, 22 NOV – Program Reka Bentuk dan Industri Kreatif (DCI) di bawah Fakulti Sastera dan Sains Sosial (FASS), Universiti Brunei Darussalam (UBD) kini
kembali dengan Festival Filem Pendek PRISM UBD bagi edisi ke-4, yang bermula dengan tayangan perdana dalam talian, pada 20 November lalu.

Tayangan dalam talian yang dihoskan di saluran YouTube FASS UBD Official itu menayangkan 10 filem pendek terpilih dengan membawa tema Prism of Creativity Amid Pandemic bagi tahun ini.

Dengan kerjasama FASS UBD, Progresif Sdn Bhd turut mengiktiraf festival berkenaan sebagai peluang menyokong pencipta kandungan baharu untuk mempromosikan bakat mereka dengan menyediakan platform bagi menarik lebih ramai penonton menyaksikan karya mereka.

Susulan tayangan dalam talian berkenaan, 10 filem pendek tersebut diterbitkan pada platform Progresif Media dan akan dapat disaksikan orang ramai hingga penghujung bulan ini.

Menurut kenyataan Progresif, sepanjang tempoh itu, satu panel hakim akan menilai karya-karya berkenaan dan akan memilih karya terbaik dalam enam kategori.

Penonton dapat mengundi filem pendek terbaik menerusi platform Progresif Media. – Gambar serahan Progresif

Anugerah Khas Pilihan Orang Ramai akan diberikan kepada filem pendek yang menerima jumlah undian tertinggi daripada penonton.

Wakil DCI, FASS UBD, Dr Yong Liu menyatakan bahawa pada tahun ini, Negara Brunei Darussalam telah mengalami gelombang kedua wabak COVID-19 di mana inilah buat julung kalinya mereka mengadakan festival tersebut secara dalam talian sepenuhnya.

“Pada masa yang begitu mencabar bagi pencipta kandungan ini, dengan adanya kerjasama Progresif Media, kami ingin memastikan bahawa PRISM akan terus menjadi penyokong kukuh dan pemudah kreatif bagi bakat-bakat muda UBD,” ujarnya.

Sementara itu, Ketua Media Progresif, Olivia Ong pula berpendapat bahawa bakat kreatif anak
Brunei sememangnya mampu berkembang lebih jauh apabila mereka mempunyai platform yang menyokong mereka.

“Menjadi progresif adalah me-ngenai komitmen berterusan untuk memperkasa industri kreatif dan ini digambarkan dalam semua yang kami lakukan selama ini, demi memupuk keupayaan pembikin filem muda, supaya mereka beraspirasi untuk mengembangkan minat dalam kreativiti dan menukar bakat mereka kepada perniagaan yang boleh dipercayai,” ujarnya.

Kenyataan menyatakan, Anugerah Khas Pilihan Orang Ramai bersama enam anugerah yang lain akan diumumkan semasa majlis anugerah maya pada 4 Disember depan, yang akan dihoskan di saluran YouTube FASS UBD Official dan boleh diakses untuk tontonan umum.