Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 18 APRIL – Kumpulan pertama daripada dua kumpulan sukarelawan dari Progresif Sdn Bhd telah mengambil bahagian dalam inisiatif tahunan Social Kitchen Community yang diadakan di Crust & Crumbs Kitchen, Serusop pada 15
April lalu.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Progresif, di sini, hari ini, inisiatif berkenaan membolehkan keluarga-keluarga berpendapatan rendah, khususnya ibu-ibu tunggal, untuk memasak dan menjual masakan dalam acara-acara atau derma di serata Brunei.
Inisiatif itu merupakan usaha sosial yang dihasratkan untuk mencari kemahiran khusus bagi golongan yang dicabar secara sosioekonomi dan untuk mentransformasikannya menjadi keusahawanan.
Ketua Pegawai Eksekutif Progresif, Hajah Nurul Haniah binti Haji Jaafar bersama-sama kakitangan Progresif telah membantu menyiapkan sebanyak 200 hidangan bungkus bagi pengagihan kepada komuniti-komuniti sosio-ekonomi rendah.
Kumpulan kedua akan meneruskan bantuan pada minggu berikutnya, menyediakan 400 hidangan bagi pengagihan dalam Ramadan Social Kitchen Community pada 2022.
Hajah Nurul Haniah berkata, “Tahun ini, inisiatif Social Kitchen Community SCOT menyasarkan #4000mealschallenge untuk diagihkan sepanjang Ramadan.
“Progresif telah menyahut cabaran itu dan mengalu-alukan institusi dan kerjasama lain untuk berbuat serupa.”
Beliau menambah bahawa melalui tanggungjawab sosial korporat, mereka akan terus menyediakan bantuan dalam menyokong usaha-usaha kemasyarakatan.