Project Scarlett dijangka hebat

Microsoft baru-baru ini telah mengambil pentas utama pada acara Electronic Entertainment Expo (E3) 2019, sekaligus berkongsi sejumlah permainan untuk platform mereka. Menariknya, pada acara tersebut juga, Microsoft berkongsi berkenaan konsol generasi terbaru yang akan diperkenalkan pada tahun hadapan, dinamakan Project Scarlett.

Konsol ini akan dijana dengan sokongan grafik berasaskan binaan AMD Zen 2 dan Radeon RDNA, sekaligus menawarkan sokongan untuk permainan pada resolusi sehingga 8K.

Project Scarlett juga akan menawarkan prestasi permainan pada kadar 120fps, sekaligus memberikan pengalaman permainan lebih menarik melaluinya.

Tidak kurang dengan itu, konsol baharu akan dilengkapi sokongan storan SSD dalam memberikan prestasi lebih laju dalam mengakses sesuatu permainan.

Microsoft mengatakan ia lebih empat kali berkuasa berbanding Xbox One X. Nama akhir untuk konsol baharu ini masih tidak diketahui lagi.

Kita mungkin mendengar lanjut mengenai konsol generasi baharu ini menjelang pelancarannya pada 2020 kelak.

Selain Microsoft, sebelum ini Sony turut telah mengacah konsol generasi baharu mereka dengan sokongan lebih kurang sama. – Agensi

Phil Spencer, Presiden Eksekutif Permainan Konsol di Microsoft, menerangkan mengenai ‘Projek Scarlett’ semasa Taklimat Xbox E3 2019 di Teater Microsoft di Los Angeles, California, baru-baru ini. – AFP