Projek 1 Meal 1 Love sasar pejuang negara kurang diberi perhatian

Oleh Ak Zaki Kasharan

BANDAR SERI BEGAWAN, 23 JUN – Kelab Komuniti Belia Transformasi (KKBT) Pusat Belia Bandar Seri Begawan, baru-baru ini, telah meneruskan lagi projek ‘Berbagi Rezeki KKBT McDonald’s Brunei: 1 Meal 1 Love’.

Projek kali ini, menyasarkan individu yang dianggap sebagai pejuang negara, namun jasa bakti mereka kurang mendapat perhatian dan berperanan besar dalam tanggungjawab memastikan kebersihan kawasan kaki lima, jalan utama, lorong kedai, taman peranginan, tandas awam khususnya di sekitar Bandar Seri Begawan yang telah diperluaskan 10 kali ganda sejak 2007.

Misi pengagihan bermula di kawasan Batu Satu sehinggalah ke kawasan Anggerek Desa termasuk Taman Peranginan Tasek Lama.

Projek yang dianjurkan Jabatan Belia dan Sukan, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) dengan kerjasama Syarikat Makan Ceria Sdn Bhd, McDonald’s Brunei berkenaan telah mendapat maklum balas dan sambutan yang amat positif dalam kalangan masyarakat.

Secara keseluruhannya, projek berkenaan telah berjaya mengumpulkan sejumlah
1,062 set meal dan pengagihannya telah dijalankan secara berperingkat sepanjang Ramadan dan Syawal bermula 13 Mei lalu.

Bahagian pertama pengagihan pada bulan Syawal lalu telah diberikan kepada Kompleks Rumah Kebajikan JAPEM pada 30 Mei 2020 lepas dengan lima sesi telah dijalankan sehingga kini.

Tiga jenis set meal disediakan dalam musim promosi minggu kedua yang mana para pelanggan berpeluang membeli set meal yang disediakan untuk projek tersebut.

Kaedah perlaksanaan seumpama ini lebih mendekati masyarakat dan sampai kepada golongan sasaran dengan lebih teratur, mudah serta selamat, ditambah lagi ketika negara masih lagi dalam usaha pengawalan penularan wabak COVID-19.

Dengan adanya inisiatif gabungan kerjasama dan sokongan pihak peniaga dan para belia, ia diharap akan memberikan impak yang lebih berkesan ke lubuk hati untuk sama membantu pihak kerajaan memeduli golongan yang kurang mendapat perhatian daripada umum.

Gambar ramai para sukarelawan bersama sebahagian daripada penerima set hidangan tersebut.
Pembahagian set hidangan kepada salah seorang penerima.