Wednesday, April 24, 2024
24.1 C
Brunei

    -

    Projek alam sekitar labuh tirai

    Oleh Ak Zaki Kasharan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 22 FEB – Projek Jelajah Pendidikan Alam Sekitar anjuran Green Brunei dengan kerjasama Mitsubishi Corporation untuk meningkatkan kesedaran orang ramai terutamanya para pelajar mengenai pentingnya menanam pokok sebagai salah satu usaha untuk menangani perubahan iklim, telah melabuhkan tirainya kelmarin, dengan majlis penutup.

    Majlis penutup berkenaan juga diselajurkan dengan pengumuman pemenang pertandingan lukisan, lukisan e-poster dan mencipta klip video.

    Hadir selaku tetamu kehormat ialah Setiausaha Tetap (Pendidikan Teras) di Kementerian Pendidikan, Dr Shamsiah Zuraini Kanchanawati binti Haji Tajuddin. Turut hadir ialah Duta Besar Istimewa dan Mutlak Jepun ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Maeda Toru dan Perwakilan Negara, Mitsubishi Corporation (Brunei Liaison Office), Tadashi Hara.

    Ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN), Yang Berhormat Dayang Khairunnisa binti Haji Ash’ari, selaku pengasas bersama Green Brunei dalam ucapan alu-aluannya mengongsikan pencapaian projek di mana lebih 1,000 pelajar telah ikut serta dalam lawatan fizikal dan secara maya ke Tenaga Suria Brunei dan Seria Energy Lab.

    Selain itu, lebih 300 pelajar telah mengambil bahagian dalam pertandingan lukisan, lukisan e-poster dan mencipta klip video, serta lebih 1,000 anak pokok telah diedarkan dalam kempen Stay-at-Home Tree Planting di keempat-empat daerah.

    Yang Berhormat Dayang Khairunnisa bergambar bersama pelajar Projek Jelajah Pendidikan Alam Sekitar semasa majlis penutup baru-baru ini.
    Tiong Ing Hoe, Erin Ashley Chin Siew Yin dan Nuridina Adilah memenangi tempat pertama dalam pertandingan tersebut.

    TYT Maeda Toru dalam ucapannya pula menekankan peranan penting pendidikan dalam menangani isu perubahan iklim.

    Tuan Yang Terutama melahirkan harapan bahawa aktiviti di bawah Projek Jelajah Pendidikan Alam Sekitar dapat menyumbang kepada penyebaran lebih banyak kesedaran kepada alam sekitar di Brunei Darussalam.

    Kemudian majlis menyaksikan pengumuman pemenang pertandingan lukisan, lukisan e-poster dan mencipta klip video.

    Untuk Pertandingan Lukisan, tempat pertama di bawah kategori lelaki dimenangi oleh Tiong Ing Hoe dari Sekolah Seri Mulia Sarjana, dan akan menerima hadiah wang tunai $200, trofi dan sijil. 

    Bagi kategori perempuan, pemenang tempat pertama ialah Dayang Nurdina Adilah binti Haji Abdul Zamri dari Sekolah Rendah Orang Kaya Besar Imas.

    Di bawah Pertandingan Lukisan E-poster, Erin Ashley Chin Siew Yin dari Sekolah Menengah Raja Isteri Pengiran Anak Saleha mendapat tempat pertama dan akan menerima hadiah wang tunai $400, trofi dan sijil.

    Sementara itu, tempat pertama bagi Pertandingan Klip Video dimenangi oleh Awang Ma’sum bin Haji Isa dari Universiti Islam Sultan Sharif Ali, yang akan menerima hadiah wang tunai $500, trofi dan sijil. Projek Jelajah Pendidikan Alam Sekitar turut disokong oleh Kementerian Pendidikan, Kementerian Pembangunan, Kementerian Tenaga, Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan, Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi, dan Syarikat Minyak Brunei Shell.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Sekumpulan gempa bumi gegarkan Taiwan

    TAIPEI, 23 APRIL - Sekumpulan gempa bumi melanda Taiwan pada awal hari ini, yang paling kuat mempunyai magnitud 6.1, menurut Kajian Geologi Amerika Syarikat...