Projek amal ABDB siap dilaksana

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 9 DIS – Bagi memperingati ulang tahunnya ke-58, Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) telah menyiapkan satu projek amal di bawah Program Projek Titian Amal dengan pembinaan bilik mandi jenazah baharu bagi Masjid Kampung Piasau-Piasau, Daerah Temburong, menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Pertahanan, hari ini.

Kenyataan menjelaskan bahawa majlis penyerahan sijil penyiapan projek telah disempurnakan oleh Pemerintah ABDB, Mejar Jeneral Pengiran Dato Paduka Seri Aminan bin Pengiran Haji Mahmud kepada Pemangku Pegawai Daerah Temburong, Awang Abdul Ghani bin Haji Othman.

Kerja-kerja yang dijalankan di masjid tersebut adalah pembinaan ruang baharu bagi proses memandikan serta pengurusan jenazah, pemasangan pintu bilik, bumbung, lampu dan lantai baharu serta pengecatan dinding.

Dengan adanya kemudahan baharu itu, penduduk Kampung Piasau-Piasau serta kampung yang berdekatan akan dapat melaksanakan tugas dan tanggungjawab dengan lebih baik dan teratur.

Projek pembinaan itu bermula pada 7 Oktober lalu yang diketuai oleh Skuadron Jurutera Tempur, Batalion Bantu Tentera Darat Diraja Brunei (TDDB).

Projek-projek yang serupa telah dilaksanakan di bawah Projek Titian Amal untuk memupuk budaya beri-memberi sekali gus untuk mengukuhkan hubungan komuniti dan Negara.

Mejar Jeneral Pengiran Dato Paduka Seri Aminan dan Awang Abdul Ghani diberikan penerangan mengenai projek berkenaan. – Gambar serahan Kem. Pertahanan