Projek amal Al Markabah serah derma

Oleh Ak Zaki Kasharan

BANDAR SERI BEGAWAN, 16 OKT – Projek Amal Al Markabah hari ini, telah menyerahkan derma bagi aktiviti community outreach di kediaman pemangku ketua Kampung Kapok dan Rancangan Perumahan Negara Meragang.

Penyerahan derma itu disempurnakan oleh ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Pengiran Haji Mohamed bin Pengiran Haji Osman @ Othman di kediaman Pengiran Haji Ibrahim bin Pengiran Haji Timbang.

Turut hadir ialah Pegawai Daerah Brunei dan Muara, Awang Misle bin Haji Abdul Karim dan Timbalan Penguasa Polis, Haji Irham bin Haji Muhd Arshad selaku ketua Kumpulan Projek Amal Al Markabah.

Projek Amal Al Markabah ini mendukung aktiviti Program Satu Kampung Satu Keluarga (1K1K) yang menumpukan sumbangan ikhlas dan ehsan daripada syarikat-syarikat dan orang persendirian bagi membantu orang memerlukan di kampung itu, manakala itu, bagi sumbangan kepada kegiatan keagamaan diterima oleh pegawai dari Pusat Al-Minhaaj.

Projek merupakan aktiviti community outreach di bawah Program Pembangunan Eksekutif bagi Pegawai-pegawai Pengurusan Pertengahan ke-29.

Tahun ini, ia dikendalikan oleh Universiti Teknologi Brunei (UTB) dengan kerjasama Jabatan Perkhidmatan Awam dalam memberikan peluang kepada para peserta program untuk memahami isu sosial yang lebih kompleks dan impaknya, serta menyemarakkan semangat para peserta sebagai sebahagian daripada membina masyarakat yang menyokong serta bekerjasama dalam hal ehwal kemasyarakatan.

Melalui projek itu, mereka yang terlibat berharap sumbangan yang dihulurkan akan dapat menyelesaikan masalah pengangkutan dalam kalangan anak-anak dari keluarga yang kurang berkemampuan agar mereka dapat memanfaatkan sepenuhnya pendidikan percuma yang diberikan oleh kerajaan bagi memastikan masa depan mereka lebih cerah, selain menyemai sifat ‘inda camah mata’ dalam kalangan penduduk kampung bagi mewujudkan kasih sayang dalam institusi kekeluargaan.

Projek itu juga menampakkan kesan positif projek 1K1K di bawah Majlis Perundingan Kampung Kapok de-ngan kerjasama Jabatan Daerah Brunei dan Muara di bawah Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri dalam memeduli keluarga yang dikenal pasti mempunyai masalah sosial dan memberikan perhatian dan bantuan bersesuaian kepada mereka termasuk sokongan moral.

Majlis penyerahan derma bagi aktiviti Community Outreach melalui Projek Amal ‘Al Markabah.