Thursday, October 10, 2024
22.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Projek amal semarakkan bulan Ramadan

    Oleh Lenna N.B.

     

    KELIHATAN sebuah keluarga sedang berbaris, bersabar menanti juadah berbuka yang diagihkan. Rasa bersyukur begitu ketara dari wajah-wajah mereka. Malah, ada yang sedang menadahkan tangan berterima kasih kepada Allah Yang Maha Penyayang dan Pengasih atas rezeki yang telah dilimpahi.

    “Alhamdullillah, hari ini kami dimurahkan rezeki lagi menerima penyungkaian untuk di rumah,” kata seorang ibu dalam nada sebak seakan berbisik kepada anaknya yang ceria melihat pelbagai juadah yang telah dihulurkan. Kesempitan hidup memang menjadi cabaran yang agak sukar, namun dengan adanya sedikit juadah berbuka, sudah cukup memberikan pengertian besar bagi mereka. Menceriakan dan membahagiakan mereka pada bulan Ramadhan.

    “Bila melihat mereka gembira dan ceria, secara tidak langsung memberikan rasa gembira buat kami kerana dapat menyerikan hari-hari mereka di bulan penuh mulia ini. Kami bukanlah dari keluarga yang kaya, tetapi bersyukur kerana masih dapat menghulurkan sedikit bantuan kepada mereka. InsyaAllah selagi hayat di kandung badan, selagi itu dengan rezeki dan usaha yang ada, kami ingin berkongsi, menyumbang dan membantu,” kata Dayang Faridah binti Haji Mohammed Daud, 42, Pengasas di sebalik Projek Nurkaseh.

    Sekilas Projek Nurkaseh

    Projek Nurkaseh adalah sebuah projek keluarga yang diusahakan oleh seluruh keluarga Dayang Faridah sejak tahun 2014 dengan harapan dapat memberikan sedikit keceriaan dan kegembiraan kepada keluarga atau insan-insan yang kurang berkemampuan. Projek itu pada asalnya bermula dari Dayang Faridah sendiri bersama suami, sehingga akhirnya melibatkan seluruh keluarga beliau bagi sama-sama melaksanakan projek tersebut.

    Dari projek keluarga, Projek Nurkaseh kini turut melibatkan lebih ramai mereka yang prihatin dan pengasih sama-sama ingin menyumbang dan membantu. Dari laman sosial, Projek Nur Kaseh telah mendapat perhatian. Secara perlahan, timbullah insan-insan prihatin ini yang memberikan sumbangan sama ada dari segi bentuk wang, atau barangan dan makanan.

    Seluruh keluarga yang menjayakan Projek Nur Kaseh.
    Seluruh keluarga yang menjayakan Projek Nur Kaseh.
    Dayang Faridah, Pengasas sebalik Projek Nurkaseh ketika ditemuramah.
    Dayang Faridah, Pengasas sebalik Projek Nurkaseh ketika ditemuramah.
    Suasana Hari Raya dengan adanya masakan secara langsung khas untuk keluarga-keluarga yang kurang berkemampuan.
    Suasana Hari Raya dengan adanya masakan secara langsung khas untuk keluarga-keluarga yang kurang berkemampuan.

    “Sebelum itu, kami berfikir, jika hanya melibatkan keluarga sahaja, setentunya tidak ramai yang kami dapat bantu. Mungkin dalam sebulan hanya dua ke tiga orang sahaja, tetapi jika kami melibatkan lebih ramai orang, kami bukan sahaja menjadi platform untuk menghulurkan bantuan tetapi juga dapat membantu lebih ramai individu yang hidup dalam kesempitan. Itulah tujuan kami menggunakan laman sosial untuk mendedahkan atau berkongsi tentang projek ini. Alhamdulillah ia telah mendapat sambutan ramai insan-insan yang prihatin di negara ini. Jujur saya katakan, memang terharu setiap kali menerima sumbangan mereka dalam menjayakan projek ini,” jelas Dayang Faridah.

    Mereka bukanlah badan kebajikan atau organisasi kebajikan, tetapi hanyalah keluarga yang sukarelawan berusaha untuk mencari redha Allah dengan menyampaikan amanah orang ramai kepada orang-orang yang berhak menerimanya. Mereka telah mengumpulkan sumbangan berupa keperluan harian, peralatan sekolah, dan barangan terpakai yang boleh digunakan dengan menamakannya sebagai ‘box of joy’ atau dalam bahasa Melayunya, ‘kotak kegembiraan’.

    “Tiga tahun sudah projek ‘Box of joy’ telah kami laksanakan. Sekiranya ada di antara waktu tidak ada sumbangan, kami menggunakan perbelanjaan kami sendiri. Yang penting, projek ini sentiasa berjalan setiap bulan. Namun Alhamdulillah, penyumbang bukan sahaja terdiri daripada bangsa Melayu dan beragama Islam, tetapi dari pelbagai bangsa dan agama. Insan-insan yang prihatin inilah menjadi kekuatan kami hingga ke hari ini.”

    Sudut sedekah

    Sempena Ramadan ini, PNK (Projek Nurkaseh) telah menganjurkan ‘Sadaqah Corner’ yang diadakan di dua lokasi, iaitu di Kuala Belait yang bermula dari hari pertama Ramadan hingga 12 Jun, dan di Kampung Bunut di sepanjang bulan Ramadan yang diadakan setiap hari Khamis dan Jumaat. Sasaran ‘Sadaqah Corner’ tersebut adalah untuk membantu dan berkongsi rezeki dengan mereka yang kurang berkemampuan untuk membeli juadah penyungkaian.

    Suasana di sebalik ‘Sadaqah Corner’
    Suasana di sebalik ‘Sadaqah Corner’
    Projek Nur Kaseh di Hari Raya, anak yatim dan insan-insan yang berkeperluan khas, telah dijemput dan diberikan sumbangan.
    Projek Nur Kaseh di Hari Raya, anak yatim dan insan-insan yang berkeperluan khas, telah dijemput dan diberikan sumbangan.
    Antara mereka yang berbaris untuk mendapatkan juadah penyungkaian.
    Antara mereka yang berbaris untuk mendapatkan juadah penyungkaian.
    Seluruh keluarga bekerjasama dalam menyusun juadah berbuka puasa.
    Seluruh keluarga bekerjasama dalam menyusun juadah berbuka puasa.

    “Pernah suatu ketika, ada seorang individu berbangsa Cina datang untuk memberikan sumbangan di ‘Sadaqah Corner’. Ia suatu pengalaman amat mengharukan. Walaupun di Brunei ini kita mempunyai berbilang kaum dan bangsa, tetapi setiap mereka mempunyai perasaan kasih sayang ingin membantu. Melihat kasih sayang yang tidak terucapkan itu, kami amat-amat berbesar hati, dan gembira,” tambah Dayang Faridah terharu.

    Konsep ‘Sadaqah Corner’ adalah bantuan berupa makanan dan minuman khas untuk penyungkaian. Mereka yang dibantu termasuklah keluarga yang kurang berkemampuan, insan yang mungkin tidak mempunyai wang yang cukup untuk membeli juadah berbuka, ibu tunggal yang tidak bekerja atau berpendapatan kecil, musafir atau pekerja buruh dan siapa sahaja yang berkesempitan.

    “Saya masih ingat ada sebuah keluarga setelah dihulurkan makanan, mereka berdoa untuk kami sekeluarga. Wajah keikhlasan, kesyukuran dan kesayuan jelas kelihatan. Itulah antara kenangan manis yang tidak dapat kami lupakan, sekaligus menyentuh hati kami,” cerita Dayang Faridah sambil menyeka air matanya. Sungguh tersentuh hatinya.

    Bersama menghulurkan bantuan

    Menurut Dayang Faridah, memerhatikan keadaan dan masalah kesempitan insan-insan yang kurang berkemampuan ini antaranya adalah ibu-ibu tunggal yang memang asalnya seorang suri rumah tangga, telah diceraikan dan ditinggalkan bersama anak-anaknya sehingga mereka hilang punca rezeki, remaja atau belia yang bergaji rendah dan kahwin muda, tidak cukup untuk menampung keluarga dan antara kes serius, adalah suami yang terlibat dalam gejala dadah dan jenayah mencuri hingga memberikan kesempitan kepada isteri dan anak-anak.

    “Pada pandangan saya, dalam mencegah kesempitan ini, setiap kita memainkan peranan untuk membantu. Dalam erti kata yang lain, bukan sekadar bantuan dari segi wang atau makanan, tetapi kemahiran. Setiap kampung, haruslah mempunyai badan khas untuk membantu mereka dari segi kemahiran, sama ada kemahiran memasak, bertukang, perniagaan dan sebagainya. Dengan adanya kemahiran ini, mereka dapat keluar dari kesempitan dengan berdikari dan menjana pendapatan sendiri. Setiap isteri dan suri rumah tangga juga perlu ada kemahiran agar mereka dapat mandiri dalam kehidupan,” cadang Dayang Faridah amat prihatin terhadap masalah kesempitan hidup yang terjadi dalam masyarakat kita.

    Menyerahkan Box of Joy sebahagian daripada Projek Nur Kaseh.
    Menyerahkan Box of Joy sebahagian daripada Projek Nur Kaseh.
    Menyerahkan juadah penyungkaian.
    Menyerahkan juadah penyungkaian.
    Antara juadah berbuka puasa yang disum-bangkan oleh insan-insan prihatin.
    Antara juadah berbuka puasa yang disum-bangkan oleh insan-insan prihatin.

    Sebarkan cinta dan kasih sayang

    Projek Nur Kaseh adalah lambang kepada semangat keprihatinan keluarga Dayang Faridah. Walaupun kadang-kala ada suara-suara sinis, namun keluarga ini tetap berdiri kental ingin membantu. Bukan sahaja membantu keluarga yang kurang berkemampuan atau dalam kesempitan hidup, tetapi juga membantu orang ramai yang sama-sama prihatin ingin menyumbang. Apabila penulis mempersoalkan kenapa sanggup meluangkan waktu melakukan projek ini, hanya satu ayat sahaja diucapkan oleh mereka, “Demi sebarkan cinta dan kasih sayang”.

    Kasih sayang antara sesama insan. Kasih sayang antara mereka yang susah dengan mereka yang senang. Kasih sayang tanpa mengira bangsa dan agama. Kasih sayang dan cinta menjalinkan silaturahim yang sungguh bererti. Ini kerana, mereka yang hidup penuh kasih sayang, adalah mereka yang paling bahagia di dunia dan akhirat. Kasih sayang inilah yang perlu kita sebarkan dan kongsikan. Semoga kita sentiasa dikelilingi dengan cinta dan kasih sayang yang sungguh bererti ini.

    “Percayalah, Allah itu tidak pernah tidur. Setiap insan yang diuji, adalah insan yang disayangi oleh Allah. Yang penting, kita terus berusaha dan berusaha, InsyaAllah ada nikmat yang sedang Allah hadiahkan untuk kita. Jauhkanlah dari perkara-perkara yang tidak mendatangkan faedah atau haram di sisi agama, teruskan berdoa dan hiduplah penuh rasa cinta dan kasih sayang. Sesungguhnya Allah itu Maha Pengasih dan Penyayang,” ujar Dayang Faridah di hujung temuramah.

    Beliau berkesempatan untuk mengucapkan ribuan terima kasih dan setinggi penghargaan kepada penyumbang-penyumbang Projek Nur Kaseh selama ini, sama ada secara langsung dan juga secara sokongan padu. Tanpa mereka, Projek Nur Kaseh tidak mungkin berjalan sehingga ke hari ini dan merekalah antara inspirasi kasih sayang yang turut sama dirasai oleh insan-insan yang kurang berkemampuan tersebut.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda