Wednesday, April 24, 2024
29.7 C
Brunei

    -

    Projek apresiasi karya sastera

    Oleh Yusrin Junaidi

    BANDAR SERI BEGAWAN, 30 NOV – Lebih 50 orang telah menghadiri projek Pantaran Sastera, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) 2022: Bedah Karya yang berlangsung secara maya melalui aplikasi Zoom dan penstriman langsung di media sosial Facebook DBP.

    Dua buah karya sastera telah diapresiasi iaitu Kumpulan Drama Taman Mimpi karya H.MAR yang dibicarakan oleh Pensyarah Program Kesusasteraan Melayu, Pengajian Melayu di Universiti Brunei Darussalam (UBD), Awang Mohammed Zefri Ariff bin Mohammed Zain Ariff dan Kumpulan Skrip Drama Ma’al Hayat karya Panji Lara yang dibicarakan oleh pensyarah Program Kesusasteraan Melayu, Pengajian Melayu di UBD, Dayang Ena Herni binti Wasli.

    Projek anjuran DBP melalui Bahagian Sastera dan Majalah itu dihadiri oleh Pemangku Pengarah, Dewan Bahasa dan Pustaka, Awang Suip bin Haji Abdul Wahab. Turut hadir ialah Pemangku Timbalan Pengarah, Dr Haji Mohd Ali bin Haji Radin merangkap Ketua Bahagian Sastera dan Majalah selaku Pengerusi Projek Bedah Karya.

    Para peserta terdiri daripada pegawai dan kakitangan DBP, wakil dari jabatan-jabatan di bawah Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS), penerima Anugerah Penulis Asia Tenggara, ahli-ahli akademik dan mahasiswa serta mahasiswi institusi pengajian tinggi di dalam dan luar negara, dan banyak lagi.

    Projek diadakan sebagai usaha mengembangkan kegiatan sastera di Negara Brunei Darussalam di samping sebagai usaha mengapresiasi karya sastera penulis dan mengangkat martabat bahasa Melayu melalui kegiatan sastera. Selain itu, ia juga memberi kefahaman dan penghayatan terhadap perkembangan sastera tanah air, menjadi sumber rujukan dan panduan para pelajar, peminat sastera dan memperkaya ilmu pengetahuan dalam bidang sastera yang dibicarakan.

    Impak daripada pembicaraan tersebut, karya-karya sastera diusahakan penelitiannya dalam kalangan ahli akademik yang dimuatkan dalam jurnal Pangsura, Jurnal Pengkajian dan Penelitian Sastera Asia Tenggara sebagai sumbangan sastera terhadap pembinaan dan pengembangan sastera lokal.

    Di samping itu, projek berkenaan diusahakan bagi memperkenalkan tokoh-tokoh penulis dan karya sastera tempatan serta dimanfaatkan bersama oleh para intelektual sastera, pengkaji sastera, penulis sastera, dan peminat sastera.

    Antara peserta yang menyertai projek Pantaran Sastera, DBP 2022: Bedah Karya, yang diadakan secara maya melalui aplikasi Zoom, kelmarin. – Gambar serahan DBP
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Badak air betina disangka jantan

    TOKYO, 23 APRIL - Terperdaya oleh DNA dan tabiat tandas yang pelik, seekor badak air di Jepun yang disangka jantan selama tujuh tahun sebenarnya...