Oleh Salawati Haji Yahya –
BANDAR SERI BEGAWAN, 20 NOV – Dewan Bahasa dan Pustaka dengan kerjasama Sekolah Rendah Rimba 1 dapat merealisasikan satu projek yang mengetengahkan dan mengapresiasi bakat seorang murid berkeperluan khas menerusi Projek Bimbing, Asuh, Kasihi, Anak Teristimewa (BAKAT) yang turut diadakan bersempena Sambutan Hari Kanak-kanak Sedunia, 2023.
Majlis perasmian projek berkenaan telah berlangsung hari ini di sekolah berkenaan yang juga di selajurkan dengan pelancaran Buku Mewarna BAKAT Wazien serta Lukisan Doodle BAKAT Wazien.
Projek BAKAT itu adalah cetusan hasil pemikiran daripada seorang guru Special Educational Needs (SEN) di Sekolah Rendah Rimba 1 yang dapat melihat dan memahami kemampuan seorang murid berkeperluan khas di bawah didikannya.
Awang Mohammad Bazil Wazien bin Indra Erwan Shah, murid berkeperluan khas Tahun 4 di sekolah berkenaan mempunyai potensi dan bakat dalam melukis serta mewarna.
Dalam projek itu, kemampuan dan bakat Awang Mohammad Bazil Wazien berjaya diketengahkan menerusi penglibatannya dalam menghasilkan lukisan dinding Doodle dan buku mewarna.
Hasil kedua-duanya dapat dilihat menerusi Lukisan Dinding Doodle BAKAT Wazien dan penerbitan Buku Mewarna BAKAT Wazien.
Majlis berkenaan diselajurkan dengan penyampaian hadiah kepada pemenang Pertandingan Mewarna Lukisan Buku Mewarna BAKAT Wazien sempena Sambutan Hari Kanak-kanak Sedunia 2023.
Majlis turut menyaksikan penandatanganan Perjanjian Lesen untuk Menerbitkan Karya antara Dewan Bahasa dan Pustaka selaku penerbit buku dengan Awang Mohammad Bazil Wazien selaku pengkarya.
Dengan perlaksanaan projek berkenaan, ia akan menjadi salah satu platform dalam menyuntik semangat dan meningkatkan keyakinan diri khususnya murid berkeperluan khas dalam menyerlahkan kemampuan dan bakat mereka.