Friday, October 11, 2024
30.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Projek bakul makanan Betong dijangka selesai tahun depan

    KUCHING, 16 SEPT – Projek Pembangunan Bakul Makanan di Spaoh, Betong, yang merupakan sebahagian daripada inisiatif Bakul Makanan Kerajaan Persekutuan dijangka selesai awal tahun depan.
     
    Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Koridor Wilayah (RECODA), Datuk Ismawi Ismuni, berkata projek itu yang ketika ini telah 70 peratus siap akan menjadi pusat pengumpulan, pemprosesan dan pembungkusan (CPPC) bagi produk pertanian penduduk setempat. 
     
    “Inisiatif ini memperlihatkan komitmen RECODA untuk mengubah kawasan luar bandar Sarawak menjadi kuasa ekonomi melalui projek pembangunan sosio-ekonomi bersasar.
     
    “Selain itu, kami juga merancang untuk menubuhkan satu lagi CPPC di Sungai Baji, Sarikei,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
     
    Ismawi berkata RECODA menyasar untuk membawa impak positif ke kawasan luar bandar dengan menambah baik infrastruktur pertanian, justeru, CPPC akan memainkan peranan penting dalam meningkatkan ekonomi tempatan dan keterjaminan makanan.
     
    RECODA baru-baru ini menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Kumpulan Carus, Nex Ecoventure dan Kumpulan Samling untuk menjalin kerjasama.
     
    Kerjasama itu bertujuan untuk mengoptimumkan pengeluaran, mengurus peralatan, menyelia rantaian bekalan dan meningkatkan kecekapan operasi di CPPC dan Stesen Pertanian Tanah Tinggi Bersepadu (IHAS) di Betong, Sarikei dan Long Banga.
     
    Selain itu, kerjasama tersebut juga menumpu untuk memperkasa petani tempatan menerusi pindahan ilmu pengetahuan dan menggalakkan amalan kaedah pertanian mesra alam. – Bernama
     
    Gambar bertarikh 14 September menunjukkan Ismawi Ismuni (dua, kiri) ketika membuat lawatan sekitar tapak Program Nyamai Sarawak Gastronomy Festival 2024 di Kampung Budaya Sarawak. Berkenaan projek di Spaoh, Betong, beliau berkata ia akan menjadi CPPC bagi produk pertanian penduduk setempat. – Bernama
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda