Projek Balb Jalan Bukit Quion, Tawau dalam proses pelantikan perunding

KOTA KINABALU, 15 April – Persidangan Dewan Undangan Negeri Sabah hari ini diberitahu projek Bekalan Air Luar Bandar (BALB) di Jalan Bukit Quion dan Tawau kini dalam proses pelantikan perunding oleh Kementerian Pembangunan Luar Bandar yang dijangka selesai bulan depan.

Menteri Pembangunan Infrastruktur negeri Datuk Peter Anthony berkata keseluruhan projek BALB itu akan mengambil masa enam bulan termasuk kerja-kerja kajian dan penyediaan reka bentuk terperinci.

“Projek ini bertujuan membina sebuah infrastruktur sistem bekalan air yang teratur bagi mengatasi dan menyelesaikan isu bekalan air di kawasan Bukit Quion termasuk di kawasan Ranggu sehingga ke Bandar Sri Indah, Tawau.

“Kebanyakan penduduk yang tinggal di kawasan berkenaan masih belum mendapat air terawat dan bergantung pada bekalan air hujan sebagai sumber untuk kegunaan harian,” katanya dalam jawapan bertulis kepada Datuk Nizam Abu Bakar Titingan (Bersatu-Apas) yang ingin tahu status projek tersebut yang diluluskan oleh kerajaan Barisan Nasional sebelum ini. – Bernama