Projek Beckham ditentukan Nov ini

MIAMI, 19 Julai – Pengundi–pengundi Miami akan menentukan undian mereka pada November depan mengenai perancangan terbaru David Beckham bagi pembinaan stadium Major League Soccer (MLS) di bandar tersebut, selepas satu undian dari pesuruhjaya bandar itu semalam.

Suruhanjaya Bandar Miami mengundi 3-2 untuk meletakkan referendum pada undian 6 November yang akan membuka ruang bagi kompleks di atas tanah milik bandar itu, yang sekarang menempatkan padang golf perbandaran.

Cadangan daripada bintang England yang bersara, Beckham dan rakan perniagaannya melibatkan sebuah stadium yang menempatkan 25,000 tempat duduk bagi tambahan kelab MLS, di samping 23 ekar padang bola belia dengan padang rumput palsu, sebuah hotel dengan 750 buah bilik, restoran, ruang runcit dan pejabat termasuk 58 ekar taman awam.

Suruhanjaya menangguhkan undian pada minggu lalu selepas pembentangan daripada kumpulan pelabur yang disusuli dengan beberapa jam ulasan umum bagi dan menentang perancangan tersebut.

Mereka yang membantah termasuk kumpulan dari program golf belia First Tee Miami di Melreese Country Club.

Jorge Mas (kiri) dan David Beckham ketika tiba bagi satu perhimpunan yang diadakan di Dewan Bandar Miami bagi menyokong pembinaan stadium MLS di Miami baru-baru ini. – AFP

Langkah dari suruhanjaya itu semalam akan membenarkan pengundi untuk menentukan sama ada untuk membenarkan bandar itu menukar undang–undangnya dan mengetepikan bidaan serta memberikan kebenaran kepada suruhanjaya untuk mengadakan perundingan pajakan 99 tahun bagi tapak tersebut.

Jika pengundi membenarkan, persetujuan pajakan perlu mendapatkan kelulusan empat dari lima pesuruhjaya.

Semalam, rakan perniagaan Beckham, Jorge Mas menyemak senarai tambahan peruntukan sejak pembentangan minggu lalu. Ia melibatkan satu persetujuan di mana tiada pembiayaan bandar itu akan digunakan bagi pembersihan tanah bertoksik, kos yang dianggarkan bernilai AS$35 juta.

Kumpulan itu juga memberikan jaminan bahawa First Tee Miami akan terus kekal, dengan jarak perjalan ke tapak itu dan akses kepada padang golf 18 lubang. – AFP