Tuesday, December 3, 2024
23.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Projek bedah karya tambah kefahaman, penghayatan sastera

    Oleh: Nurdiyanah R.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 6 NOV – Sebagai salah satu kegiatan sampingan Pesta Buku Brunei 2024, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) melalui Bahagian Sastera dan Majalah telah mengungkayahkan Pantaran Sastera DBP menerusi Projek Bedah Karya 2024, pagi tadi. 

    Acara yang diadakan di Pentas Utama, Stadium Tertutup, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah itu turut disiarkan menerusi penstriman langsung melalui Facebook DBP Brunei.

    Hadir selaku tetamu khas ialah Pemangku Pengarah DBP, Hajah Haireni binti Haji Awang Damit dan turut hadir, Pemangku Timbalan Pengarah DBP, Dr Haji Mohd Ali bin Haji Radin.

    Pada acara berkenaan, sebanyak dua sesi bedah karya kumpulan sajak telah dilaksanakan iaitu karya Rahsia Huruf oleh Nazwan Karim yang dibicarakan oleh Penolong Pensyarah Program Kesusasteraan Melayu, Fakulti Sastera dan Sains Sosial, Universiti Brunei Darussalam (UBD), Dr Syahwal Nizam bin Haji Yani pada sesi pertama dan diikuti karya Istirahat Hati oleh A. Amin yang dibicarakan oleh Pasca Siswazah Kesusasteraan Melayu, UBD dan Ahli Angkatan Sasterawan dan Sasterawani (ASTERAWANI) Brunei Darussalam, Awangku Muhammad Nur Safiuddin bin Pengiran Haji Harun pada sesi kedua.

    Pelaksanaan acara berkenaan antaranya bertujuan untuk mengembangkan kegiatan sastera di negara ini dalam mengapresiasi karya sastera; mengangkat martabat bahasa Melayu melalui kegiatan sastera; serta memberi kefahaman dan penghayatan terhadap perkembangan sastera tanah air. Selain itu, ia juga bertujuan untuk menjadi sumber rujukan dan panduan para pelajar, peminat sastera dan memperkaya ilmu pengetahuan dalam bidang sastera yang dibicarakan.

    Pada tahun ini, Projek Bedah Karya memilih dua buah karya baharu terbitan DBP dan juga merupakan alumni Opera iaitu Organisasi Program Penulisan Mastera. Hasil pembicaraan karya sastera ini nanti, akan dimuatkan dalam jurnal Pangsura, Jurnal Pengkajian dan Penelitian Sastera Asia Tenggara sebagai sumbangan sastera terhadap pembinaan dan pengembangan sastera tempatan.

    Di samping itu, projek tersebut turut diusahakan bagi memperkenalkan tokoh-tokoh penulis dan karya sastera tempatan serta dimanfaatkan bersama oleh para intelektual sastera, pengkaji, penulis dan peminat sastera.

    Antara pengisian semasa sesi bedah karya berkenaan. –  GAMBAR SERAHAN DBP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda