Projek bina ibu negara baharu Indonesia bermula 2021

JAKARTA, 19 JUN – Projek pembinaan ibu negara baharu Indonesia dijadualkan bermula 2021 dan peruntukannya akan ditetapkan dalam bajet 2020, lapor agensi berita Xinhua, memetik Menteri Perancangan Pembangunan, Bambang Brodjonegoro kelmarin.

Menurut beliau lokasi mungkin dipilih adalah di Pulau Kalimantan. “Pembinaan akan bermula pada 2021, kami berharap prosesnya dapat dilakukan secara berperingkat, sehingga ia dijangka beroperasi pada 2024,” katanya.

Kajian kebolehlaksanaan di beberapa daerah di Kalimantan Timur dan Kalimantan Tengah masih dilaksanakan dan 90 peratus telah selesai, katanya.

Menurutnya, antara elemen yang dipertimbangkan dalam kajian itu ialah mengenai rizab air, infrastruktur, risiko gempa bumi dan kebakaran hutan serta keadaan sosial.

Beliau menjangkakan hasil kajian dikemukakan kepada Presiden Joko Widodo (Jokowi) dalam waktu terdekat.

“Presiden akan membuat pengumuman mengenainya tahun ini, menunggu saat yang tepat untuk melakukannya,” tambahnya.

Kementerian itu mendedahkan sebelum ini peruntukan mungkin mencecah 466 trilion rupiah (kira-kira AS$32.5 bilion), diperoleh daripada bajet negara, kerjasama dengan firma kerajaan dan sektor swasta.

Idea untuk memindahkan ibu negara dari Jakarta disuarakan Presiden Jokowi dua bulan lalu. Rancangan itu dijangka meningkatkan ekonomi di kawasan luar pulau Jawa yang padat penduduk. – Bernama