Projek di PMB dijangka siap Mac 2019

Oleh Imelda Groves HA

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 19 Julai – Projek keseluruhan di Pulau Muara Besar (PMB) kini mencapai 46 peratus siap dan dijangka siap sepenuhnya pada Mac 2019 depan.

Perkara ini dinyatakan dalam Sesi Dialog Pendekatan Hengyi bersama Stakeholder ke-11 yang berlangsung di Serambi Batil, Tarindak D’Seni, di sini, hari ini.

Antara yang hadir pada sesi dialog yang juga diselajurkan dengan Majlis Silaturahim Hengyi Industries Sdn Bhd itu ialah pegawai-pegawai kerajaan termasuk wakil-wakil dari Pasukan Polis Diraja Brunei, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Kementerian Kesihatan, Jabatan Kerja Raya dan beberapa jabatan lainnya.

Sesi dialog turut membentangkan kemas kini mengenai kemajuan projek PMB di samping memaklumkan mengenai aktiviti-aktiviti syarikat, peluang-peluang pekerjaan yang terdapat di pulau tersebut, sesi keselamatan yang terkini, kursus dan sumber manusia warga Hengyi Industries Sdn Bhd.

Beberapa siri projek seperti pembinaan jeti, single point mooring, pembinaan tangki-tangki dan banyak lagi turut diterangkan pada sesi tersebut.

Alan Goh, Li Peng dan Sham Khiruddin semasa menyampaikan taklimat dan penerangan pada sesi dialog berkenaan. – Gambar oleh Rahwani Zahari

Pembinaan kemajuan yang berterusan bagi projek PMB juga akan membolehkan kapal seberat 300,000 tan untuk memasuki perairan negara dan berlabuh bagi urusan perniagaan dan pekerjaan. Sehingga kelmarin, seramai 11,804 orang penghuni berada di PMB yang terdiri daripada pekerja-pekerja tempatan dan luar negara yang sebahagiannya menginap di kediaman pulau atau balik ke rumah masing-masing.

Peratus pekerja tempatan tidak menentu disebabkan kemasukan dan keluarnya warga Hengyi Industries Sdn Bhd yang mengikuti kursus dan sedang dalam latihan namun sasaran Hengyi Industries Sdn Bhd adalah untuk mendapatkan 80 peratus pekerja tempatan.

Sehubungan itu, beberapa program telah pun disusun dengan kerjasama Institut Pendidikan Teknikal Brunei (IBTE), Pusat Pembangunan Kapasiti dan beberapa buah institusi pengajian tinggi di negara ini untuk mendapatkan warga tempatan yang berkemahiran dan berkelayakan mengikuti program dan latihan yang ditawarkan.

Wakil-wakil Hengyi Industries Sdn Bhd yang menyampaikan taklimat dan penerangan pada sesi dialog berkenaan ialah Eksekutif Kesihatan, Sekuriti, Keselamatan dan Alam Sekitar (Keselamatan), Sham Khiruddin; Pengarah Sumber Manusia, Alan Goh dan Pengarah Hal Ehwal Awam, Li Peng.

Sejurus selepas sesi dialog yang diakhiri dengan sesi soal jawab, saranan dan pertukaran buah fikiran, para jemputan menjamu selera sambil bersilaturahim dan beramah mesra bersama warga Hengyi Industries Sdn Bhd dan jemputan lain.