Monday, December 2, 2024
24.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Projek EET dilancar, tingkat kesedaran iklim

    Oleh Ak Zaki Kasharan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 5 OKT – Sebahagian daripada program kesedaran pendidikan pelbagai sektor untuk menyokong rancangan mitigasi perubahan iklim kebangsaan di bawah Dasar Perubahan Iklim Nasional Brunei Darussalam (BNCCP), Green Brunei, dengan kerjasama Mitsubishi Corporation menganjurkan Projek Environmental Education Tour (EET) yang telah dilancarkan secara maya, kelmarin.

    Pelancarannya telah disempurnakan oleh Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Ir Haji Suhaimi bin Haji Gafar selaku tetamu kehormat.

    Turut hadir ialah ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Dayang Khairunnisa binti Haji Ash’ari yang juga pengasas bersama Green Brunei, wakil negara Mitsubishi Corporation (Pejabat Perhubungan Brunei), Tadashi Hara serta Kaunselor dan wakil ketua misi Kedutaan Besar Jepun di Brunei Darussalam, Atsushi Suda.

    Dalam ucapannya, Yang Berhormat Menteri Pembangunan menyatakan bahawa pendekatan seluruh negara diperlukan untuk mencapai sasaran Negara Brunei Darussalam bagi rendah karbon dan tahan iklim.

    Ini, menurut beliau, memerlukan penerapan kebijakan di berbagai-bagai sektor dan komitmen semua pihak yang berkepentingan melalui perancangan dan pelaksanaan yang teliti.

    Yang Berhormat Dato Seri Setia Ir Haji Suhaimi, Yang Berhormat Dayang Khairunnisa, Tadashi Hara dan Atsushi Suda semasa majlis pelancaran secara maya itu. – Gambar serahan Green Brunei

    Tadashi Hara pula mengatakan bahawa saat ini lawatan fizikal perlu ditunda ke tarikh lain kerana keadaan pandemik yang tidak dijangka.

    “Oleh itu, semua pihak berkepentingan akan terus berbincang untuk mencari jalan penyelesaian alternatif bagi melaksanakan projek ini walaupun dalam keadaan semasa, untuk mengekalkan objektif utama kami menyebarkan kesedaran dan memberi peluang bagi memikirkan perubahan iklim dan peralihan tenaga,” ujarnya.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan di sini, ini merupakan kali kedua projek projek berkenaan dianjurkan berikutan kejayaan projek tahun lalu yang membawa 1,322 pengunjung yang terdiri daripada pelajar institusi menengah dan pengajian tinggi ke Tenaga Suria Brunei untuk mengetahui tentang pentingnya memahami perubahan iklim dan memberi kesedaran mengenai peralihan tenaga ke tenaga suria, dan alam sekitar.

    Dua lawatan sambil belajar sudah diadakan ketika projek itu pertama kali dimulakan pada Ogos lalu, namun sesi lawatan yang lain perlu ditangguhkan berikutan gelombang kedua penularan wabak COVID-19.

    Lawatan selebihnya akan dijadualkan di kemudian hari, tertakluk kepada sekatan COVID-19.

    Sebagai sebahagian daripada program berkenaan, Pertandingan Lukisan juga dianjurkan oleh Jabatan Pendidikan Kokurikulum, Kementerian Pendidikan yang dibukakan bagi murid-murid Tahun 4 hingga 6 dengan tema Perubahan Iklim. 

    Di samping itu, anak pokok dan buku pendidikan mengenai perubahan iklim dan tenaga boleh diperbaharui di negara ini akan diedarkan ke sekolah dan individu yang mengambil bahagian.

    Projek tersebut juga disokong oleh Kementerian Pembangunan, Kementerian Tenaga, Kementerian Pendidikan, Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan dan Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi.

    Turut hadir menyertai majlis secara maya tersebut ialah Pengarah Urusan BSP dan Ketua Negara Shell di Brunei, Agnete Johnsgaard-Lewis dan setiausaha tetap serta pegawai kanan lain.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda