FAYOUM – Di sebuah ladang kala jengking di selatan ibu kota Mesir, Kaherah, Fayoum, berpuluh-puluh ekor kala jengking merangkak di dalam satu kontena besar berwarna biru yang telah dijadikan sebagai sangkar kala jengking, di simpan dalam rak di sebuah bilik khas yang mengandungi sekitar 20 ekor kala jengking jantan dan juga betina.
Ladang ini telah menyimpan sekitar 3,000 ekor kala jengking dan merupakan sebahagian daripada projek yang dimulakan oleh belia muda Mesir bagi mengekstrak racun kala jengking untuk manfaat perniagaan dan juga penyelidikan saintifik.
Ladang kala jengking di Fayoum ini dimiliki oleh Cairo Venom, sebuah syarikat yang berpusat di Kaherah yang telah memulakan perusahaan itu pada tahun 2015 dengan 100 ekor kala jengking sehinggalah kini memiliki sekitar 60,000 kala jengking.
Mohamed Boshta, pengurus am Cairo Venom berkata bahawa dia telah mempelajari teknik dan perniagaan dalam memelihara serta bagaimana untuk mengekstrak keluar racun kala jengking dan memulakan perusahaan syarikat ini bersama dengan kumpulan belia muda Mesir yang berminat dalam bidang ini.
“Bidang ini merupakan yang baharu di Mesir dan kami telah menggunakannya dalam kajian dan penyelidikan saintifik secara menyeluruh. Kini kami mempunyai pelanggan tempatan seperti syarikat farmaseutikal Sigma dan Pharco serta syarikat eksport ke negara-negara asing termasuk Arab Saudi, Denmark dan Belgium,” Boshta memberitahu media Xinhua.




Dia turut menambah bahawa masa depan racun kala jengking dapat menjanjikan kebaikan kepada kehidupan berdasarkan kepada kajian saintifik untuk menggunakan asid amino dalam racun haiwan tersebut dalam pengeluaran ubat. “Kami sedang melakukan penyelidikan dengan menggunakan racun kala jengking bagi membantu mengubati beberapa jenis penyakit seperti anemia, reumatoid dan juga kanser,” kata ketua syarikat itu.
Boshta, yang pernah disengat oleh kala jengking sebanyak 80 kali, telah meyakinkan bahawa racun kala jengking sebenarnya tidak berbahaya untuk badan manusia yang sihat kerana jumlah maksimum racun yang dimasukkan ke dalam badan manusia adalah 0.02 mg.
Di ladang Fayoum tersebut, kala jengking berwarna kekuningan ini merangkak di kontena plastik biru dan kelihatan tenang walaupun pekerja sering mengambil racun daripada badannya.
“Tenaga, kekuatan dan kelajuan kala jengking secara beransur-ansur akan berkurangan selepas racun di ekstrak dari badannya. Oleh itu, kami akan melepaskan kala jengking itu selepas enam bulan kami mengekstrak racun dari badannya,” tambah Ahmed Al-Ashry, pengurus ladang Cairo Venom kepada media Xinhua.
Manakala jenis kala jengking yang sukar untuk ditemui dan sejenis yang dilindungi akan dilepaskan ke habitat semula jadinya dan kemudian akan diburu kembali selepas beberapa tahun, selebihnya, iaitu jenis kala jengking yang biasa dan mudah ditemui akan dihancurkan menjadi serbuk serta digunakan untuk membuat produk perubatan atau kosmetik, menurut pengurus am ladang tersebut.
Selepas racun kala jengking di ekstrak, cecair racun itu akan diproses daripada bentuk air kepada serbuk. “Antara keperluan yang penting dalam menyelenggarakan ladang kala jengking ini adalah memastikan kebersihan dan udara yang segar bagi memastikan tidak ada pencemaran atau serangga yang berpotensi untuk merosakkan racun yang telah diekstrak itu,” kata Ashry kepada media.
Disesuaikan dengan habitat semula jadi
Setiap sangkar kala jengking akan disimpan dengan pasir untuk musim panas dan juga kisaran jagung pada musim sejuk bagi menyediakan kala jengking ini suasana persekitaran yang serupa dengan habitat asalnya.
Pengurus ladang tersebut dibantu oleh dua pekerja yang pakar dalam penjagaan kala jengking dan mengekstrak racun dari badannya.
Mohamed Saeed, salah seorang pembantu Ashry, menjelaskan bahawa dia memegang kala jengking dengan sepasang forceps dan kemudian merangsang kejutan elektrik dengan kuasa yang rendah dan tidak menyakitkan bagi mengeluarkan racunnya.
“Oleh itu, kala jengking akan mengeluarkan sedikit racun dari hujung ekornya, yang dipanggil sebagai stinger atau telson. Akhirnya saya dapat mengumpul racun itu dan memasukkannya dalam tiub kapilari yang saya pegang di tangan yang lain,” kata Saeed kepada media.
Ahmad Farghal, rakan kongsi dan pengurus kewangan di Cairo Venom berkata bahawa syarikat itu turut menggunakan kala jengking dewasa bagi mendapatkan sumber proteinnya.
“Jika tidak, racun yang dihasilkan akan menjadi tidak sah,” tambahnya. Dia turut berkata bahawa bahagian penyelidikan saintifik projek itu telah menggunakan racun haiwan itu untuk perubatan dan membantu Mesir serta penduduknya berbanding mengeksportnya sebagai racun dan kemudian mengimportnya dalam bentuk ubat.
Farghal turut menjelaskan bahawa sesiapa yang berminat boleh bermula dengan menjalankan projek yang sama dengan 1,000 kala jengking di mana kosnya sekitar 6,000 pound Mesir hingga 10,000 pound yang boleh menghasilkan bulanan sekitar 1 gram racun kering dan sedia untuk diperdagangkan serta perubatan, harganya bervariasi antara 10,000 dan 20,000 pound di pasaran tempatan Mesir.
Syarikat-syarikat global telah menjual 1 gram racun kering dengan standard antarabangsa sekitar 15,000 pound. “Saya mempunyai rakan yang menyertai kursus latihan di ladang kala jengking dan telah memulakan ladang kecil mereka sendiri,” kata Man kepada Xinhua sambil menekankan bahawa bidang itu adalah baharu, menjanjikan dan Cairo Venom sedia membantu para belia muda untuk memulakan projek yang sama. – Xinhua





























