Thursday, April 25, 2024
26.3 C
Brunei

    -

    Projek Fathul Barakah diteruskan

    Oleh Yusrin Junaidi

    BANDAR SERI BEGAWAN, 7 MAC – Sebanyak 40 buah keluarga mualaf dari seluruh negara menerima sumbangan berupa catuan makanan seharian sempena Projek Fathul Barakah 4.0 di Dewan Persidangan, Pusat Dakwah Islamiah (PDI), Kampung Pulaie, hari ini.

    Hadir selaku tetamu kehormat dan seterusnya menyempurnakan penyerahan sumbangan kepada para mualaf ialah Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman.

    Projek berkenaan memberi peluang kepada orang ramai untuk sama-sama memberi infak berupa makanan asasi bagi keperluan mualaf yang memerlukan.

    Dianjurkan oleh PDI melalui Bahagian Pembangunan Mualaf (Kebajikan Mualaf) dengan kerjasama persatuan mualaf seluruh negara, projek berkenaan berjaya mengumpul lebih 400 infak.

    Pengumpulannya diadakan secara serentak di keempat-empat daerah iaitu di PDI, Kampung Pulaie dan pejabat-pejabat unit dakwah daerah Tutong, Belait dan Temburong secara pandu lalu pada 25 dan 26 Februari lalu.

    Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama semasa menyampaikan sumbangan kepada salah seorang penerima.

    Majlis penyerahan terdahulu dimulakan dengan bacaan Sayyidul Istighfar dan Surah Al-Fatihah oleh Penolong Pegawai Perkembangan Ugama, Awang Muhammad Fuad bin Matahir.

    Pengarah PDI, Haji Abdul Rajid bin Haji Mohd Salleh dalam ucapan alu-aluannya selaku pengerusi majlis menjelaskan, projek pada tahun ini merupakan yang keempat diadakan.

    Sumbangan yang dihulurkan diharap akan dapat meringankan bebanan penerima dan mereka sama-sama dapat menikmati Ramadan yang penuh berakah, tambahnya.

    Penyerahan infak akan diteruskan lagi oleh PDI dan unit dakwah daerah masing-masing dengan berkunjung ke rumah-rumah para mualaf yang terpilih.

    Projek Fathul Barakah 4.0 bertujuan untuk menampung keperluan harian asnaf mualaf dan sebagai satu dakwah bil mal yang berkesan dalam memeduli dan memantau dari segi aspek perkembangan kehidupan serta kebajikan mereka, agar terus dapat melaksanakan ibadah dengan lebih sempurna.

    Di samping memantau dari aspek penghayatan agama Islam khusus bagi para mualaf di negara ini, ia juga bertujuan untuk mengeratkan hubungan ukhuwah terutama dalam kalangan persatuan-persatuan mualaf seluruh negara dengan PDI dalam sama-sama mengungkayahkan kerja-kerja berkebajikan demi kesejahteraan para mualaf di negara ini.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Hingga 160 paus pilot terdampar di Australia, sekurang-kurangnya 26 maut

    MELBOURNE, 25 APRIL - Sehingga 160 ekor paus pilot bersirip panjang terdampar di pantai barat Australia hari ini dan sekurang-kurangnya 26 maut sebelum pihak...