Oleh Nurdiyanah R.
BANDAR SERI BEGAWAN, 20 APRIL – Bersempena mengambil keberkatan bulan Ramadan, Kementerian Tenaga telah mengadakan kempen amal menerusi Projek Infak Kasih Ramadan dengan pengagihan sumbangan telah berlangsung selama tiga hari iaitu pada 16 dan 18 April serta hari ini.
Mengetuai rombongan bagi mengagihkan sumbangan kepada para penerima ialah Setiausaha Tetap Kementerian Tenaga, Haji Azhar bin Haji Yahya dan Timbalan Setiausaha Tetap Kementerian Tenaga, Pengiran Haji Jamra Weira bin Pengiran Haji Petra.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan, kempen yang dilaksanakan dengan kerjasama jabatan-jabatan dan badan-badan berkanun di bawah Kementerian Tenaga itu telah berjaya menyempurnakan sumbangan kepada 60 keluarga yang terdiri daripada kakitangan Kementerian Tenaga dan Jabatan Perkhidmatan Elektrik (JPE) yang kurang berkemampuan berserta keluarga-keluarga terpilih yang menetap di Daerah Brunei dan Muara, Tutong dan Belait.
Pengagihan sumbangan kepada kakitangan terpilih khususnya dalam lingkungan kakitangan Kementerian Tenaga dan JPE yang diadakan pada 16 April lalu secara pandu lalu diadakan di Kompleks Bangunan Jabatan Perdana Menteri.
Seterusnya pada 18 April dan hari ini, ahli jawatankuasa dan sukarelawan yang terdiri daripada kakitangan Kementerian Tenaga, JPE, Autoriti Petroleum Negara Brunei Darussalam dan Autoriti Keselamatan, Kesihatan dan Alam Sekitar Kebangsaan (SHENA) telah mengagihkan sumbangan ke rumah-rumah keluarga yang kurang berkemampuan di Daerah Brunei dan Muara, Tutong dan Belait.
Antara sumbangan ialah barangan keperluan asas harian termasuk makanan bertujuan untuk membantu meringankan beban penerima sepanjang bulan Ramadan dan juga sebagai persediaan menjelang bulan Syawal.
Barangan sumbangan diperoleh melalui sumbangan derma pegawai dan kakitangan Kementerian Tenaga, jabatan-jabatan dan badan-badan berkanun dibawahnya.
Kempen ini merupakan aktiviti tahunan yang dijalankan oleh kementerian sepanjang bulan Ramadan yang bertujuan untuk memupuk sifat amal soleh dan pemurah dalam kalangan pegawai dan kakitangan pihak kementerian, jabatan-jabatan dan badan-badan berkanun di bawahnya.