Projek infrastruktur mega perlu digerakkan

KUALA LUMPUR, 10 OGOS – Malaysia boleh menyaksikan pengembangan ekonomi yang lebih hebat sekiranya ia memulakan projek-projek infrastruktur mega pasca pandemik seperti kereta api berkelajuan tinggi terutama bagi tujuan pengangkutan barang yang akan memberikan pelbagai kesan ke seluruh rantaian bekalan.

Menurut Pensyarah Keusahawanan Fakulti Perniagaan dan Perakaunan Universiti Malaya Prof Madya Dr Aida Idris, projek-projek seumpama itu akan menjadi pendorong kepada pengusaha luar bandar untuk menghasilkan dan memasarkan produk mereka di bandar dan melangkauinya.

“Dengan ekonomi digital yang semakin berkembang bak cendawan sejak tahun lepas, saya yakin kerajaan akan meneliti untuk memenuhi projek infrastruktur mega – lebih kepada pengangkutan barangan berbanding penumpang,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata tiga sektor utama yang akan menerajui pertumbuhan ekonomi negara pasca pandemik adalah pembuatan, pertanian dan perkhidmatan tetapi tanpa mengambil kira tiga sektor ini, tiada satupun yang boleh berfungsi tanpa sokongan infrastruktur dan utiliti yang baik. – Bernama