Projek Inisiatif Pakai Mask di ibu negara

Oleh Nurdiyanah R.

BANDAR SERI BEGAWAN, 21 SEPT – Jabatan Daerah Tutong dengan kerjasama Badan Kemajuan dan Kreatif Daerah Tutong dan Sukarelawan Daerah Tutong (SUKA) serta Kumpulan IMPAK Penggerak Belia Daerah Tutong telah meneruskan misi Projek Inisiatif Pakai Mask di beberapa kawasan Daerah Brunei dan Muara yang terpilih.

Pada hari ini, misi berkenaan telah dijalankan di Tamu Kianggeh dan bangunan Kompleks Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (Yayasan) di sini, di mana hadir menyertai acara yang diadakan ialah ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Dayang Khairunnisa binti Haji Ash’ari selaku yang di-pertua Majlis Belia Brunei dan Pengerusi Kumpulan IMPAK Penggerak Belia Daerah Tutong, Awang Abdul Aziz bin Haji Hamdan.

Menurut Yang Berhormat Dayang Khairunnisa, projek yang diungkayahkan berkenaan begitu bermanfaat dalam sama-sama meningkatkan kesedaran betapa pentingnya penggunaan pelitup muka yang betul ketika negara berdepan dengan krisis kesihatan pada masa kini.

“Alhamdulillah, sedikit sebanyak menerusi projek ini, kita juga dapat membantu golongan yang kurang berkemampuan khususnya dalam pembelian pelitup muka pakai buang yang amat diperlukan sehari-hari.

“Dalam hal ini, kita tidak mahu mereka memakai pelitup muka yang terlalu lama atau dipakai berkali-kali kerana ia begitu membahayakan kesihatan bersama.

“Di samping itu, ia juga secara tidak langsung menggalakkan orang ramai berbagi rezeki terutamanya dengan menyumbang pelitup muka semampu mereka,” tambahnya.

Sementara, Awang Abdul Aziz pula menyatakan, menerusi projek yang pertama kali dijalankan di Daerah Tutong itu secara tidak langsung menjadi salah satu cara golongan belia untuk menabur bakti kepada negara dengan menggenggam amanah berjuang bersama pihak kerajaan bagi memutuskan rantaian wabak daripada berlarutan.

“Berbagi rezeki dan ilmu pengetahuan cara penggunaan pelitup muka yang betul, itulah misi kami semua agar melindungi diri dan insan-insan sekeliling dari semasa ke semasa,” ujarnya lagi yang juga berhasrat akan melaratkan inisiatif projek itu ke Daerah Temburong dan Daerah Belait pada masa terdekat.

Projek Inisiatif Pakai Mask turut dilaratkan ke Tamu Kianggeh di ibu negara.
Salah seorang pembantu kedai menerima sekotak pelitup muka semasa misi di ibu negara.