Projek Inisiatif Pakai Mask

Oleh Nurdiyanah R.

TUTONG, 3 SEPT – Dengan matlamat untuk meningkatkan kesedaran orang ramai bagi sama-sama memutuskan rangkaian wabak COVID-19 serta menyahut seruan Kementerian Kesihatan, Jabatan Daerah Tutong dengan kerjasama Badan Kemajuan dan Kreatif Daerah Tutong dan Sukarelawan Daerah Tutong (SUKA) serta Kumpulan IMPAK Penggerak Belia Daerah Tutong telah melaksanakan projek Inisiatif Pakai Mask.

Projek berkenaan merangkumi tiga inisiatif utama iaitu memberi kesedaran kepada masyarakat akan pentingnya penggunaan pelitup muka dan menggalakkan orang ramai untuk beramal dengan menderma pelitup muka kepada insan-insan yang memerlukan serta menubuhkan pusat penerimaan sumbangan pelitup muka bagi mewujudkan bagi kemudahan masyarakat.

Fasa pertama projek itu telah dilaksanakan baru-baru ini di Bangunan Lama Pejabat Daerah Tutong, Jalan Enchi Awang, Pekan Tutong di mana sumbangan pelitup muka yang telah berjaya dikumpulkan diagih-agihkan kepada orang ramai termasuklah pekerja-pekerja luar yang berada di sekitar kedai Pekan Tutong. Selain itu, projek tersebut juga menghulurkan sumbangan kepada sukarelawan yang bertugas di Kompleks Sukan Tutong.

Sehubungan itu, orang ramai dialu-alukan untuk mendermakan pelitup muka seikhlas hati dengan menghantar terus ke pusat berkenaan pada waktu pejabat, menghubungi talian 8654208 untuk membuat temu janji atau bagi sebarang pertanyaan lebih lanjut mengenai projek berkenaan.

Ahli jawatankuasa projek semasa mengadakan fasa pertama projek Inisiatif Pakai Mask di sekitar Pekan Tutong, baru-baru ini.