Projek istimewa Yasin tiup semangat masa pandemik

Lama tidak muncul dengan projek baharu, penyanyi Yasin Sulaiman tampil mengubati kerinduan peminat menerusi single Vaksin Rindu.

Lagu yang dilancarkan pada 21 Oktober lalu itu bersesuaian dengan usaha kerajaan untuk memastikan lebih ramai rakyat Malaysia mengambil vaksin.

Bercerita mengenai projek single Vaksin Rindu itu, Yasin, 46, berkata, dia mendapat tawaran menyanyikan lagu tersebut daripada Persatuan Amal Kemanusiaan Malaysia. Antara objektif penerbitan lagu itu ialah sebahagian usaha dan inisiatif agar orang ramai yang belum mendapatkan vaksin boleh berbuat sedemikian.

Selain itu, lagu itu juga bertujuan untuk menaikkan semangat selepas musibah yang menduga rakyat Malaysia.

“Saya tidak berfikir panjang ketika ditawarkan untuk menyanyikan lagu Vaksin Rindu kerana tertarik dengan lirik dan tema yang dibawa lagu berkenaan.

Yasin Sulaiman tampil mengubati kerinduan peminat menerusi single Vaksin Rindu. – Agensi

“Lagi pula, saya suka idea yang dibawa Persatuan Amal Kemanusiaan Malaysia ini. Dalam masa sama, saya lebih kepada nak menyokong kempen yang dijalankan.

“Saya nak raikan matlamat kempen mereka menerusi lagu Vaksin Rindu ini. Usaha ini bagus kerana boleh terus tingkatkan kesedaran kepada masyarakat terhadap suntikan vaksin ketika virus COVID-19 masih melanda negara,” katanya.

Vaksin Rindu merupakan ciptaan AkhMas dan Yasin Sulaiman, sementara lirik oleh Yasin, Suhaimi dan Ghazali. Berkongsi lanjut mengenai lagu itu, Yasin berkata, dia turut memberikan sedikit sentuhan pada melodi dan lirik.

“Pada awalnya memang saya kena menyanyi saja. Apabila tengok lirik, ia cute juga. Lagu sederhana dan santai saja.

“Disebabkan karya ini daripada pertubuhan bukan kerajaan, saya tidak boleh layan mereka macam orang lain. Jadi saya ada baiki sikit pada bahagian lirik supaya lagu itu lebih baik hasilnya.

“Ketika dapat tawaran itu pun, muzik sudah siap. Jadi, saya bantu dalam proses mixing sikit. Alhamdulillah, hasilnya diharap dapat diterima baik peminat dan sama-sama kita menghayati lagu ini,” ujarnya.

Ditanya mengenai kewujudan golongan yang masih belum atau menolak vaksin, Yasin berkata, perkara itu adalah pendirian dan hak masing-masing.

“Di sekeliling saya ramai tak ambil vaksin lagi dengan pelbagai alasan atau mungkin juga mereka merasakan tak nak terbabit dengan agenda vaksin. Ikut kepercayaan sendiri.

“Kita tak boleh paksa mereka. Dalam perubatan pun sama. Cuma, pengambilan vaksin ini ialah untuk kesedaran bersama bagi melindungi diri kita,” jelasnya. – Agensi