LABUAN, 1 FEB – Kesesakan trafik yang sering berlaku dari Jalan Pohon Batu menuju pusat bandar dijangka berakhir dengan pembukaan jalan pesisir bernilai RM125 juta sepanjang 5.1 kilometer dari Kerupang ke Membedai hari ini.
Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Ir Suhaizad Sulaiman berkata pembukaan jalan itu akan meningkatkankesalinghubungan di Labuan dan mengurangkan kesesakan di sepanjang Jalan Pohon Batu dan Tun Mustapha menuju pusat bandar.
Beliau berkata projek pembinaan jalan pesisir itu, yang bermula pada 19 Disember 2017 di bawah Rancangan Malaysia ke-11, akan memberi manfaat kepada sekurang-kurangnya 35 peratus pengguna jalan raya di pulau bebas cukai tersebut seperti di Kampung Tanjung Aru, Nagalang serta Kerupang 1, 2 dan 3.
“Kesesakan trafik sepanjang lebih 5 kilometer mengecewakan pemandu yang menggunakan Jalan Pohon Batu dan Tun Mustapha untuk ke pusat bandar.
“Terdapat juga dakwaan sesetengah ibu bapa sering lewat ke pejabat atau menghantar anak mereka ke tadika serta sekolah susulan keadaan lalu lintas yang sesak teruk pada sebelah pagi, dan kini selepas projek jalan pesisir ini siap, kami harap ia akan banyak membantu,” katanya kepada Bernama. – Bernama