Projek jalan pesisir Labuan dijangka siap April tahun depan

LABUAN, 7 JUN – Projek jalan pesisir Labuan bernilai RM132 juta dijadualkan siap pada April tahun depan selepas berlaku kelewatan sebanyak sembilan peratus dari segi kemajuan kerja susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebelum ini dan isu pengambilan tanah.

Projek jalan raya sepanjang 5.1 kilometer di bawah Rancangan Malaysia ke-11 itu dijangka memanfaatkan sekurang-kurangnya 35 peratus pengguna di pulau bebas cukai tersebut seperti Kampung Tanjung Aru, Nagalang, Kerupang 1, 2 dan 3 bagi menikmati trafik lebih lancar untuk ke pusat bandar.

Projek itu bermula pada Di-sember 2017 dari Membedai ke Tanjung Aru dan dijangka meningkatkan kesalinghubungan Labuan selain mengurangkan kesesakan lalu-lintas di sepanjang Jalan Tun Mustapha.

Perkara itu dinyatakan dalam taklimat ringkas jurutera kanan Jabatan Kerja Raya Ir Sudin Hasim kepada Menteri Wilayah Persekutuan Tan Sri Annuar Musa di tapak projek tersebut hari ini. – Bernama

Projek jalan pesisir Labuan dijadualkan siap pada April 2021 berikutan penangguhan disebabkan PKP dan isu pengambilan tanah. – Bernama