Oleh Salawati Haji Yahya –
BANDAR SERI BEGAWAN, 6 JAN – Dalam usaha meningkatkan kesedaran tentang manfaat minum air kosong dan peranannya yang penting dalam menyokong kesihatan mental, Sekolah Rendah Katok A, baru-baru ini telah melancarkan Projek Lakastah Minum Air! di sekolah berkenaan.
Projek yang antara lain bertujuan untuk memastikan akses berterusan kepada air minuman bersih di sekolah itu telah dilancarkan oleh Guru Besar Sekolah Rendah Katok A, Dayang Noorleha binti Haji Tamit.
Acara dimulakan dengan taklimat ringkas oleh Ketua Bahagian Kesihatan Sekolah, Dayang Khairul Ainie binti Haji Ali Hashim bersama ahli jawatankuasa projek.
Taklimat tersebut menekankan kepentingan menjaga hidrasi untuk kesejahteraan keseluruhan, fungsi kognitif dan pembentukan tabiat sihat sepanjang hayat.
Sebagai sebahagian daripada projek tersebut, Sekolah Rendah Katok A telah menerima mesin penapisan air yang ditaja melalui sumbangan daripada penderma persendirian dan syarikat-syarikat, yang mana sistem penapisan itu akan menyediakan akses mudah kepada air minuman bersih untuk komuniti sekolah.
Bagi memastikan kelestarian inisiatif berkenaan, sekolah telah merancang pelbagai aktiviti menarik yang antaranya aktiviti Perarakan Minum Air Harian di mana semua guru dan murid akan minum air kosong bersama sebelum kelas bermula pada sesi pagi dan petang.
Bagi Aktiviti Fokus Hidrasi Mingguan pula, sekolah akan mengadakan Program Hari Minum Air Kosong Sahaja setiap Sabtu untuk menggalakkan komuniti sekolah mengutamakan minum air kosong dan mengurangkan pengambilan minuman bergula.
Manakala program pendidikan pula ialah aktiviti harian, mingguan dan bulanan yang akan menekankan kesedaran tentang hidrasi dan kaitannya dengan gaya hidup sihat.
Majlis pelancaran diakhiri dengan kuiz yang menyeronokkan dan informatif, diikuti dengan ikrar daripada komuniti sekolah untuk menyokong inisiatif itu.
Projek tersebut diharap dapat dijadikan sebagai inspirasi memupuk komitmen sepanjang hayat kepada tabiat sihat dalam kalangan pelajar, kakitangan dan komuniti sekolah secara keseluruhan.
Sementara itu, Dayang Noorleha mengucapkan rasa terima kasih kepada para penaja dan menegaskan komitmen sekolah dalam mempromosikan kesejahteraan pelajar. Beliau berharap projek itu akan menjadi contoh bagi sekolah lain dan mendorong semua pihak untuk mengamalkan tabiat sihat demi masa depan yang lebih baik.