Projek menabung kaca kumpul $49,102.28

Oleh Salawati Haji Yahya

BANDAR SERI BEGAWAN, 13 NOV – Sejumlah $49,102.28 telah berjaya dikumpulkan oleh 33 orang kanak-kanak Pusat Kanak-kanak Cacat (KACA) bagi 2019 menerusi Projek Menabung KACA dan jumlah ini membawa kepada keseluruhan $121,967.72 yang dikumpulkan dari 2016 hingga 2019.

Jumlah berkenaan menunjukkan peningkatan berbanding tahun lalu yang mencatatkan $34,498.14 daripada 58 orang kanak-kanak KACA, $22,686.28 daripada 54 orang pada 2017 dan $15,681.02 dari 52 orang kanak-kanak.

Sehubungan itu, majlis penyampaian hadiah bagi fasa kedua projek berkenaan (2016-2020) dan majlis penutup aktiviti-aktiviti KACA bagi tahun ini telah diadakan di Pusat KACA, Kampung Kiulap, hari ini.

Penyampaian hadiah kepada penabung teratas dan pemenang aktiviti-aktiviti yang telah diadakan sepanjang tahun disempurnakan oleh Presiden KACA, Dato Paduka Haji Zainal bin Haji Momin selaku tetamu kehormat.

Projek Menabung KACA fasa kedua ini bertujuan untuk menanamkan budaya menabung atau ilmu menabung supaya kanak-kanak KACA faham bahawa dalam hidup perlu berjimat untuk masa depan dan tidak membebankan orang lain.

Ibu bapa turut membantu anak-anak menabung seterusnya mengurus kewangan mereka.

Projek berkenaan telah bermula pada 2011 hingga 2015 selama lima tahun untuk fasa pertama dan fasa kedua bermula pada tahun 2016 hingga 2020.

Dato Paduka Haji Zainal menyampaikan hadiah kepada salah seorang kanak-kanak KACA dalam Projek Menabung KACA.