Projek MIB tonjol kemahiran pelajar

Oleh Daniel Lim

BELAIT, 10 SEPT – Unit Melayu Islam Beraja (MIB), Institut Pendidikan Teknikal Brunei (IBTE) Kampus Jefri Bolkiah (JBC) telah mengendalikan projek bagi pelajar diploma pengambilan 2020/2023 di mana mereka menggunakan kemahiran mereka membuat pembentangan tayangan klip video demonstrasi masakan tempatan dan kuih-muih tradisi.

Seramai 16 orang pelajar yang terlibat dalam projek berkenaan yang terdiri daripada enam orang pelajar daripada program Diploma dalam Pengajian Nautika dan 10 orang pelajar daripada program Diploma dalam Kejuruteraan Marin.

Tiga orang hakim penilai telah dijemput untuk menilai projek tugasan masakan iaitu pensyarah dari Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB), Dayang Norapizah binti Zalani; Ketua Program Pentad-biran Pejabat dan tenaga pengajar MIB di IBTE Kampus Perniagaan, Dayang Nurazimah binti Haji Duah dan Pegawai Pelajaran di Pusat Evolusi, Institut Latihan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB), Awang Muhammad Azmi bin Haji Zaini.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan, objektif bagi projek berkenaan adalah untuk mengetahui pemahaman pelajar mengenai modul MIB yang telah mereka pelajari.

Selain itu, dengan menerangkan dan menyediakan masakan tempatan serta kuih-muih tradisi yang dipilih dapat mengekalkan dan melestarikan khazanah warisan budaya tradisi masakan dan kuih-muih Brunei. Projek berkenaan juga dikira sebagai nilai tambah kepada kemahiran kehidupan.

Projek merupakan satu tuntutan dalam kerja kursus bagi modul MIB untuk peringkat diploma yang termasuk dalam skim penilaian tugasan sebanyak 30 peratus.

Acara ini diakhiri dengan penyampaian sijil kepada hakim-hakim yang dijemput yang disempurnakan oleh Pengurus Akademik IBTE JBC, Dayang Rosmah binti Salman serta sesi bergambar ramai.

Dayang Rosmah menyampaikan sijil kepada salah seorang wakil pelajar pada penghujung projek berkenaan. – Gambar serahan IBTE JBC