Projek Muafakat Amal berkongsi rezeki bersama petugas barisan hadapan

Oleh Nurdiyanah R.

TUTONG, 24 SEPT – Dengan niat untuk menghargai jasa para petugas barisan hadapan dalam menangani krisis kesihatan yang melanda negara, Jabatan Daerah Tutong dengan kerjasama Badan Kemajuan dan Kreatif Daerah Tutong, Majlis Perundingan Kampung (MPK) Daerah Tutong dan Sukarelawan Daerah Tutong (SUKA) telah menyumbangkan makanan dan minuman kepada Pasukan Polis Diraja Brunei, cawangan Daerah Tutong, baru-baru ini.

Penyerahan sumbangan yang merupakan hasil kutipan menerusi Projek Muafakat Amal MPK Daerah Tutong itu telah disempurnakan oleh wakil ahli jawatankuasa Badan Kemajuan dan Kreatif Daerah Tutong, Awang Abdul Aziz bin Haji Hamdan dan Haji Saifulbahri bin Haji Umarali.

Sumbangan diterima oleh Pemangku Timbalan Penguasa Polis, Awang Shamsulariffin bin Haji Abdul Wahab selaku pegawai siasatan jenayah Daerah Polis Tutong, pada majlis yang diadakan di Balai Polis Daerah Tutong.

Menurut Awang Abdul Aziz, projek berkenaan merupakan salah satu platform perantaraan bagi memudahkan para penduduk kampung terutamanya ahli-ahli MPK di Daerah Tutong untuk berkongsi rezeki seadanya kepada para petugas barisan hadapan.

“Alhamdulillah setakat ini, menerusi hasil kutipan sumbangan projek ini, kami telah mengagihkan sumbangan mereka kepada wakil-wakil petugas barisan hadapan bagi Hospital Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Tutong, Pusat Pengasingan Kebangsaan, Tutong, COVID Holding Area Mahad (CHAM), pusat vaksinasi Daerah Tutong dan Pusat Dialisis Tutong serta di pusat pengagihan catuan makanan di Kompleks Sukan Daerah Tutong,” tambahnya.

Dalam pada itu, beliau turut mengalu-alukan orang ramai yang berhasrat menghulurkan sumbangan untuk terus menyumbangkannya di Drop-Off Point, Bangunan Lama Pejabat Daerah Tutong, Jalan Enchi Awang Pekan Tutong atau melalui pemangku ketua kampung masing-masing.

Wakil ahli jawatankuasa Projek Muafakat Amal MPK Daerah Tutong semasa menyerahkan sumbangan kepada Balai Polis Daerah Tutong, baru-baru ini – Gambar serahan Badan Kemajuan dan Kreatif Daerah Tutong