Projek padi 20 hektar mula Oktober

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 14 Mac – Projek Kandol merupakan projek penanaman padi secara besar-besaran dan komersial di mana Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bertitah mengenai projek berkenaan semasa Majlis Ilmu 2018, telah memperkenankan projek pembukaan kawasan baharu bagi penanaman padi secara komersial iaitu kawasan Kandol, Daerah Belait yang berkeluasan 500 hektar.

Kawasan itu akan dilengkapi infrastruktur bersesuaian dan pengendalian penanaman padi akan dibukakan kepada syarikat- syarikat, termasuk syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

Dalam merealisasikan projek berskala besar itu, ia memerlukan penyertaan daripada banyak syarikat termasuk GLC kerana ia adalah terlalu besar bagi hanya satu pengusaha untuk melaksanakannya serta memerlukan belanja yang besar, memandangkan bahawa Kandol merupakan kawasan yang belum diterokai.

Perkara itu dijelaskan oleh Menteri Sumber-sumber Utama dan Pelancongan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ali bin Haji Apong ketika menjawab persoalan mengenai perancangan untuk merealisasikan Projek Kandol yang dikemukakan oleh ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN), Yang Berhormat Awang Naim bin Haji Kamis semasa MMN yang bersidang bagi hari kelima di Bangunan Dewan Majlis, hari ini.

Beliau menerangkan lanjut bahawa selepas titah Baginda berkenaan dengan pembukaan kawasan penanaman padi secara komersial berskala besar itu, Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan (KSSUP), Kementerian Kewangan dan Ekonomi dan Kementerian Pembangunan telah menubuhkan jawatankuasa untuk melaksanakan projek itu dan telah menubuhkan jawatankuasa kerja iaitu Bidang Teknikal dan Bidang Pelaburan.

Jawatankuasa Kerja Bidang Teknikal jelasnya lagi, telah pun bermesyuarat beberapa kali dan telah pun mengeluarkan tawaran atau tender bagi mendapatkan kontraktor yang akan membuka kawasan sekitar 20 hektar sebagai permulaan dan akan membuat kajian menangani isu banjir dan isu perairan di kawasan berkenaan.

Yang Berhormat Dato menerangkan lanjut bahawa perkembangannya amat dikagumi di mana kawasan seluas 20 hektar itu akan mula ditanam padi pada Oktober 2019 dan selebihnya secara berperingkat-peringkat sehingga meliputi keseluruhan kawasan berkenaan ditanam.

Sementara itu, Jawatankuasa Kerja bagi Pelaburan pula, jelasnya, bertindak untuk mencari pelabur yang akan mengusahakan bersama kawasan berkenaan dengan GLC untuk memastikan rakan usaha sama itu merupakan rakan yang berpengalaman dalam bidang penanaman padi supaya dapat mencapai matlamat yang dihasratkan iaitu untuk membuka kawasan berkenaan sebagai tanaman padi yang menambah keluaran padi negara bagi meningkatkan sara diri beras negara.

Yang Berhormat Dato menerangkan bahawa peruntukan bagi projek berkenaan adalah melalui Rancangan Kemajuan Negara (RKN) kira-kira $50 juta dan selebihnya kira-kira $20 juta akan dibiayai oleh pelabur sendiri bagi melaksanakan penanaman padi itu.

Beliau menerangkan lagi bahawa kerajaan hanya akan menyediakan infrastruktur asas termasuk isu-isu pengawalan banjir dan kaedah untuk menyediakan bekalan air yang mencukupi bagi kegunaan tanaman padi berkenaan.